HARAPAN TINGGI PADA MUSLIMAT

Dewan Muslimat merupakan sayap penting dalam PAS selain dari Dewan Ulama dan Pemuda. Terpikul di bahu mereka tanggungjawab yang maha hebat mendidik anak-anak dan juga peneraju rumahtangga bersama sang suami.

Memang tidak dapat dinafikan tenaga muslimat amat diperlukan terutama dalam kerja-kerja mendekati rakyat. Tanpa muslimat pasti banyak kerja yang tidak dapat dilakukan dengan sempurna.

Hari ini saya diamanahkan untuk merasmikan Mesyuarat Agong Dewan Muslimat PAS Kawasan Bukit Katil kali 5 di Pejabat PAS Kawasan Bukit Katil. Terasa kerdil diri ini untuk memberikan pandangan, nasihat dan cadangan kepada ibu-ibu, kakak-kakak dan adik-adik muslimat sekelian.

Saya bukanlah orang terbaik untuk bediri bercakap dan merasmikan acara yang maha penting dan besar ini.

Saya memulakan bicara dengan menyingkap Ayat Allah yang menegaskan bahawa di sana ada satu cara untuk menyelamatkan orang beriman dari azab yang maha pedih. Caranya ialah berniaga iaitu beriman kepada Allah dan RasulNya, berjihad di jalan Allah dengan harta benda dan diri kita. Itulah resepi yang difirmankan oleh Allah kepada orang beriman. Mari kita sama-sama rebut tawaran Allah S.W.T ini.

Sejarah sahabat Rasulullah juga saya singkap di mana terdapat seorang muslimat yang bernama Hindu Ibn Amr Ibn Haram yang berjuang bersama Sahabat lain sehingga suami, anak dan saudaranya sendiri gugur syahid di Medan Uhud. Namun beliau tetap tabah dan bersyukur dengan kesyahidan anaknya Khallad, suaminya Amr dan suadaranya Abdullah. Begitulah kentalnya semangat muslimat di zaman Rasulullah S.A.W.

Saya juga mengharapkan Dewan Muslimat dapat memantapkan tarbiyyah, organisasi dan kerja-kerja politik guna untuk merealisasikan hasrat dan cita-cita Islam di negeri Melaka ini. Jangan kita berbangga dengan kejayaan PAS di negeri lain tetapi kita 'mandom' di Melaka ini.

Comments