ALI RUSTAM SILA LETAK JAWATAN SEBELUM DIMALUKAN NAJIB

Saya sekali lagi menyeru Ketua Menteri Melaka YAB Datuk Seri Mohd Ali Rustam supaya meletakkan jawatan beliau serta merta. Bukan itu sahaja beliau juga mesti meletakkan jawatan sebagai ADUN Bukit Baru bagi membolehkan rakyat memilih seorang wakil rakyat yang bersih, telus dan berintegriti.

Jasa Mohd Ali akan dikenang oleh rakyat jika beliau seorang yang bertanggungjawab dengan meletakkan jawatannya. Jika beliau tidak meletakkan jawatan dan menunggu sehingga jawatannya dilucutkan saya pasti rakyat akan terus mencemuh dan tidak mengenang jasa beliau lagi.

Sebagai seorang ahli politik yang lama dan veteran beliau sepatutnya sedar bahawa seseorang pemimpin yang tidak berintegriti dan terlibat dengan rasuah serta salah laku mestilah meletakkan jawatan. Ini kerana jawatan sebagai Ketua Menteri dan ADUN mestilah dipegang oleh seseorang yang bersih, telus dan berintegriti.

Akhir sekali saya menasihatkan Mohd Ali supaya sedar bahawa beliau akan mendapat malu yang tersangat besar jika jawatannya dilucutkan oleh Perdana Menteri dan Presiden Umno yang baru iaitu Najib Razak. Lebih baik letakkan jawatan dulu sebelum mendapat aib.
Dalam media hari ini Ali menegaskan bahawa beliau tidak akan meletakkan jawatan selagi Najib belum memberhentikan beliau.

Comments