ALI BAKAL MENDAPAT MALU DILUCUTKAN JAWATAN KM

Melaka bakal dapat Ketua Menteri baru. Itu antara desas-desus yang bertiup kencang di negeri ini sejak Ketua Menteri Melaka sekarang Datuk Seri Mohd Ali Rustam dihukum oleh Umno kerana rasuah. Beliau dilucutkan hak untuk bertanding pada pemilihan Umno hujung Mac lalu kerana didapati terlibat dalam rasuah.

Walaupun Ali dijatuhkan hukuman atas kesalahan agen-agennya yang didapati bersalah merasuah perwakilan namun peristiwa itu sudah cukup mencalarkan imejnya. Kini cakap-cakap politik semakin rancak menyatakan bahawa Ali Rustam akan dicantas oleh Najib seiring dengan tindakan Najib membuat rombakan besar-besaran kabinet kerajaan pusat.

Najib yang telah mengumumkan untuk membuat rombakan kabinet selepas 7 April, kemungkinan juga akan menukarkan Menteri Besar dan Ketua Menteri. Lebih-lebih lagi 4 orang Menteri Besar telah tewas pada pemilihan Majlis Tertinggi Umno baru-baru ini. Ali Rustam juga termasuk dalam golongan Menteri Besar dan Ketua Menteri yang tidak ada apa-apa jawatan dalam Umno di peringkat pusat.

Ali Rustam yang terkenal sebagai kaki bodek dilihat menjadi penyokong kuat Pak Lah semasa era pemerintahan cucu ulamak itu. Malah Pak Lah seringkali diundang untuk melawat Melaka hampir setiap bulan. Tindakan Ali membodek Pak Lah berlebih-lebihan akhirnya memakan diri sendiri kerana meninggalkan Najib. Kini Ali benar-benar tersepit. Tidak ada tempat untuk bergantung harap bagi menyelamatkan karier politiknya.
Malah Najib dilihat lebih cenderung untuk memberikan peluang kedua kepada Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik. Seorang lagi pemimpin dari Melaka yang juga mempunyai peluang untuk meningkat naik pada era kepimpinan Najib ialah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Idris Haron. Dengan itu Ali dijangka akan terus hanyut dan akan dimuziumkan.
Prestasi Ali sebagai Ketua Menteri tidaklah boleh dibanggakan walaupun Melaka dilihat pesat membangun. Namun semua itu bukannya atas kepintaran Ali mencari duit. Tetapi semua peruntukan pembangunan tersebut diperolehi secara hutang dari kerajaan pusat. Akhirnya Melaka diberi jolokan Melaka Darul 'Hutang' kerana hutangnya mencecah hampir RM2 bilion.

Projek-projek mega yang dijalankan oleh Ali langsung tidak memberikan manfaat kepada rakyat. Antaranya Menara Taming Sari, Melaka International Bowling Centre, Pulau Melaka, Stadium Hang Jebat, Eye On Malaysia dan lain-lain. Malah ada antaranya mejadi projek Gajah Putih. Selain itu hasrat Ali untuk menjadikan Melaka Negeri Maju 2010 juga semakin kabur. Ini kerana beberapa perkara asas kemajuan sesebuah negeri masih belum berjaya diatasi oleh Ali Rustam. Antaranya banjir kilat yang terus menerus berlaku di Melaka, kadar pengangguran yang kian meningkat, masalah jenayah, maksiat semakin parah dan lain-lain.
Dari segi politik juga prestasi BN Melaka tidaklah sehebat mana walaupun ramai menganggap Melaka sebagai negeri paling kuat BN dalam dunia. Ini kerana pada Pilihanraya Umum 2008 lalu, Pakatan Rakyat melalui DAP berjaya memenangi 5 DUN iaitu DUN Kesidang, Bandar Hilir, Kota Laksamana, Ayer Keroh dan Bachang.
Malah Parlimen Bukit Katil yang mana Ali Rustam menjadi Ketua Bahagian hampir jatuh ke tangan PKR di mana calonnya Khalid Jaafar hanya tewas kira-kira 1,500 undi kepada Mat Sirat Abu. Undi Pakatan Rakyat juga terbukti meningkat dengan mendadak dengan menyaksikan calon-calon PR memperolehi minima 40 % undi popular. Ini merupakan tamparan hebat kepada Ali Rustam.
Pemimpin-pemimpin Umno Melaka terutama Exco Kerajaan negeri dilaporkan mula mengintai peluang untuk menggantikan Ali Rustam. Sumber dalaman Umno memberitahu bahawa terdapat Exco kerajaan negeri yang sudah mula melobi pihak atasan supaya dirinya dipilih menggantikan Ali Rustam. Antara Exco-exco dikatakan layak untuk mengambilalih jawatan Ketua Menteri Melaka adalah Datuk Mohd Yunos Hussin, Datuk Yaakub Mat Amin, Datuk Abdul Karim Sulaiman dan lain-lain.
Najib kemungkinan besar sudah ada calon yang sesuai untuk menggantikan Ali Rustam yang jelas tidak sesuai dengan selera Najib yang kononnya ingin membawa cara dan kaedah baru dalam pentadbirannya. Sikap Ali yang begitu keras dan busuk hati kepada PR dan penyokongnya memang tidak sesuai untuk cara politik baru. Sebagainya contoh mudah, amat sukar untuk PR menggantung poster ceramah dan banner program kerana sudah pasti ianya akan diturunkan oleh pihak berkuasa tempatan dengan arahan pihak atasan. Sedangkan dinegeri lain perkara ini tidak berlaku.

Tidak syak sikap berdendam dan tidak rasional Ali Rustam mungkin tidak disukai oleh Najib, sedangkan Najib dilihat cuba mengambil hati rakyat dengan membebaskan 13 orang tahanan ISA dan menarik balik penggantungan permit Harakah dan Suara Keadilan. Pihak Pakatan Rakyat juga konsisten menggesa Ali Rustam meletakkan jawatan. Beberapa hari selepas Ali Rustam dijatuhkan hukuman oleh Lembaga Disiplin Umno, PR negeri Melaka telah menganjurkan demonstrasi menggesa Ali meletakkan jawatan. Memo menggesa Ali meletakkan jawatan juga diserahkan oleh pihak kepada Ali melalui pegawainya.
Selain satu Ali juga menghadapi saman dari bekas Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Putra atau dahulunya di Southern Hospital, Abdul Hamid Mustapah. Kes tersebut akan dibicarakan dalam minggu ini.

Jika Ali Rustam mempunyai sifat seorang negarawan, beliau pasti meletakkan jawatan sebelum beliau dimalukan oleh Perdana Menteri dengan menggantikan beliau dengan orang lain. Adalah lebih baik beliau berbuat demikian dari menanggung malu dilucutkan jawatan dan digantikan dengan orang lain.

Comments

mawe™ said…
sumber dalaman umno mengatakan ali ketam akan letak jawatan pada 15 april nie..tapi tak taw la betul ke tidak..tapi sape pun lepas dia tetap bn jugak..nak wat apa..semua sama..korupsion..tapi kalau ali ketam letak jawatan sebagai adun lebih bagus..kita akan gegarkan melaka