RAKYAT MELAKA BANTAH PENGGANTUNGAN HARAKAH DAN SUARA KEADILAN

Bandaraya Melaka : Rakyat Melaka membantah penggantungan akhbar Harakah dan Suara Keadilan. Seorang bekas pekerja Harakah, Hj Yassim Musa, 57 kesal dengan tindakan Kementerian Dalam Negeri yang jelas undur ke belakang dalam zaman moden ini.

"Orang satu dunia bercakap dan mengamalkan kebebesan akhbar dan media, kita di Malaysia terus mengamalkan dasar tertutup dan kolot dengan mengambil tindakan terhadap akhbar yang tidak sealiran dengan kita".

"Tindakan kerajaan ini merupakan langkah sebuah kerajaan yang tidak bertamadun dan takut kepada bayang-bayang sendiri" ujar Yassim yang tinggal di Paya Dalam dekat sini.

Seorang peniaga, Salleh Osman, 54 dari Masjid Tanah pula kesal dengan tindakan kerajaan BN yang masih belum berubah walaupun pemimpin kerajaan melaung-laungkan dasar kebebasan media pada setiap kali berjumpa pihak media dan wartawan.

"Hakikatnya kerajaan BN tidak pernah berubah, bila sahaja BN tersepit dan sokongan kepada mereka merosot mereka akan mengambil tindakan kepada akhbar alternatif seperti Harakah dan Suara Keadilan".

"Tindakan ini merupakan langkah yang sering dilakukan apabila BN merasa terancam dengan sokongan rakyat kepada PR, perkara yang sama pernah berlaku pada tahun 1999 apabila Harakah hanya dibenarkan keluar 2 kali sebulan sahaja" ujar Salleh.

Seorang pesara tentera Jamiluddin Aman, 45 dari Durian Tunggal pula turut kesal dengan sikap kerajaan BN yang ternyata bersifat kuku besi dan zalim sehingga sanggup mematikan demokrasi media yang sedang diamalkan di negara luar.

"Saya pasti nama Malaysia akan bertambah buruk di mata dunia dengan tindakan kurang bijak ini. Malaysia sebenarnya sedang menuju ke arah kegelapan media, di mana hanya media pengampu kerajaan sahaja yang dibenarkan".

"Amat malang sekali kepada rakyat negara kita apabila media yang sepatutnya menjadi tempat untuk menyuburkan daya berfikir hanya menjadi medan untuk memuji dan memuja kerajaan secara membuta tuli sehingga menampakkan kerajaan langsung tiada cacat cela" kata Jamiluddin.

Rata-rata mereka yang ditemui menentang tindakan kerajaan BN yang mereka sifatkan mengamalkan sikap tidak demokratik terhadap media.

Comments