PEMIMPIN BARU UMNO : PEMIMPIN PAS TERNYATA LEBIH BERKUALITI

Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Melaka, Haji Bakrin Sidek berkata walaupun ramai muka baru yang dipilih pada Persidangan Agung Umno semalam, namun masih ada yang memiliki rekod dan imej yang tercalar dan mencurigakan. Nasib baik beberapa orang yang memiliki rekod dan imej yang lebih buruk tewas jika tidak maka imej Umno akan semakin teruk.
"Ada yang pernah disiasat mencabul kehormatan wanita, ada yang pernah berbelanja berjuta ringgit untuk merebut jawatan sebelum ini dan ada yang pernah terlibat dalam memalsukan kelulusannya sendiri, mereka ini juga menang, ini yang memeningkan kepada saya".
"Apa pun itulah barisan kepimpinan Umno yang telah dipilih oleh ahli-ahlinya sendiri. Najib Tun Razak dalam ucapannya merasmikan Persidangan Wanita , Pemuda dan Puteri Umno Selasa lalu ada menyebut; " Safkanlah kepada saya sekumpulan pimpinan yang ampuh dan padu. Bariskanlah kepada saya satu pasukan yang setia, berintegriti, berkebolehan lagi berdedikasi", dan inilah yang beliau dapat." kata Bakrin dengan serius.
Bakrin juga mempersoalkan apakah Umno mampu mentranformasi partinya yang teruk terluka pada Pilihanraya Umum lalu? Apakah Umno mampu bangkit, berjuang untuk rakyat dengan bersih, telus dan bermaruah sedangkan rata-rata pemimpin yang terpilih didakwa melakukan rasuah, politik wang dan salah laku lain? Atau apakah ia akan terus karam kerana tidak mampu belajar dari pengalaman yang lepas-lepas?
"PAS, kata Bakrin terkehadapan dalam aspek melahirkan pimpinan yang berkualiti dan bertakwa. Dalam ia terus bertarung dan bersaing dengan Umno, musuh politik tradisinya, PAS semakin terserlah diterima masyarakat dengan saf kepimpinan yang disenangi dan disegani"
"Kita tidak pernah mendengar Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden malah AJK PAS Pusat didakwa, dituduh dan disiasat kerana meletupkan orang, membunuh orang, merogol, meraba wanita, terlibat dengan rasuah, menyalahgunakan kuasa dan sebagainya. Jelas pemimpin PAS lebih berkualiti.
Rakyat mesti menilai perkara ini jangan tertipu dengan gula-gula media."Bakrin juga berkata umat Melayu dan Islam semakin hilang harapan pada Umno yang nazak angkara wabak politik wang yang tidak kebah-kebah itu. Kualiti kepimpinannya semakin corot dan merosot, manakala akhlak mereka terus dipertikai.
"Kini yang rakyat dapat melihat dengan jelas bahawa hanya PAS yang mempunyai kepimpinan yang bersih, telus dan berakhlaq. Dengan itu jelas rakyat akan memberikan kepercayaan kepada PAS yang bernaung di bawah Pakatan Rakyat untuk menjadi tempat mereka berpaut dan berpayung"

"PAS akan menjadi tempat mengadu hal dan menyelesaikan kemelut dalam negara antaranya masalah rasuah, ekonomi, maksiat, jenayah dan sebagainya" tambah beliau.Bakrin yakin PAS akan berjaya meyakinkan rakyat akan kemampanan dan kemampuannya untuk mengambil teraju dalam menjuarai cita-cita perjuangan ummah, membela rakyat dan melahirkan sebuah Negara yang adil dan saksama.
Beliau juga yakin bahawa pada bulan Jun nanti giliran PAS akan memilih saf kepimpinannya yang baru, muda dan yang lebih penting bersih, berakhlaq, takut pada Allah, berilmu dan berkarisma.
Dalam PAS, katanya tidak akan ada perebutan dan persengketaan dalam proses pemilihan pemimpin, jauh sekali rasuah, politik wang dan fitnah-menfitnah. Ini mesti dijadikan panduan kepada rakyat dalam usaha mereka untuk memilih pemimpin. Rakyat dan pengundi Bukit Gantang mesti melihat ketelusan dan akhlaq serta karisma pemimpin PAS ini.

Comments

Anonymous said…
Pemimpin UMNO sentiasa bertelagah sesama sendiri. Politik wang itu rasuah dan haram. Islam melarang meminta atau membeli jawatan. Rezeki yang diperolehi cara ini adalah haram. Rakyat muak dan bosan atas tingkah laku mereka. Mana boleh rakyat bernaung di bawah kepimpinan yang maksiat.BERTAUBATLAH sebelum dijemput ajal.