Kerajaan BN yang memerintah Malaysia sekarang sangat lemah dalam membuat keputusan termasuk yang melibatkan projek besar dan kritikal serta sensitif.
"Saya sangat bimbang dengan senario yang ada hari ini, di mana kita melihat banyak keputusan kabinet dibuat secara caca marba dan tidak konsisten"
"Sehari dua ini kita lihat sudah beberapa keputusan kerajaan yang dibuat ditarik balik dalam masa dua tiga hari malah dalam kes kenaikan tol ianya dibatalkan keesokan harinya" kata Mahfuz.
"Inilah contoh sebuah kabinet 'dapuq' (dapur) di mana di dapur tersebut ada tikus, lipas, semut dan sebagainya" tambah beliau.
Mahfuz memberikan contoh bagaimana kenaikan tol yang diumumkan oleh Menteri Kerja Raya ditarik balik keesokan harinya selepas mendapat bantahan ahli-ahli parlimen.
"Tidakkah kerajaan memikirkan sesuatu keputusan itu semasak-masaknya sebelum diumumkan kepada rakyat, tetapi dalam kes kenaikan tol ini nampaknya kerajaan sesuka hati mengumumkan kenaikan dan selepas membatalkannya".
"Begitu juga dalam kes pembinaan LCCT kedua di Labu yang dibatalkan setelah riuh rendah di seluruh negara bahawa ianya akan dibina di kawasan tersebut".
Mahfuz mempersoalkan sikap pemimpin kerajaan yang menganggotai kabinet dapur ini yang seolah-olah tidak serius dan tidak menjalankan kajian terperinci dalam membuat sesuatu keputusan. Sehingga akhirnya kredibiliti dan imej kerajaan Malaysia tercemar dan tercalar.
Sementara itu Mahfuz menggesa Presiden Umno, Abdullah Ahmad Badawi mengangguhkan pemilihan Umno pada Persidangan Agong Umno ini kerana terbukti sebahagian besar calon yang bertanding terlibat dengan rasuah politik wang.
"Bayangkan terdapat 900 aduan rasuah yang diterima oleh Jawatankuasa Tatatertib dan Disiplin Umno. Jumlah aduan ini menggambarkan bahawa gejala rasuah dalam Umno melibatkan hampir semua calon yang bertanding".
"Mereka ini mesti ditapis dan disiasat dengan telus, adil dan bebas bagi memastikan tiada calon yang terlibat dengan rasuah dipilih dan menjadi pemimpin kita nanti, kerana secara tradisinya ada di kalangan pemimpin Umno akan dilantik menjadi pemimpin kerajaan".
Menurutnya Mahfuz jika Abdullah tidak menangguhkan pemilihan maka terbukti kata-kata Abdullah untuk membenteras rasuah adalah retorik semata-mata.
"Saya mengharapkan SPRM tidak menjadi Skim Perlindungan Rasuah Malaysia, SPRM mesti menyiasat semua calon Umno yang akan bertanding nanti terutama yang diadukan terlibat dengan rasuah politik wang" ujar Mahfuz yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Pokok Sena.
Comments