KERAJAAN PR BERJAYA TUNAIKAN JANJI, RAKYAT DAPAT BANYAK KEBAJIKAN BERBANDING DI NEGERI BN

Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Negeri Melaka, Haji Bakrin Sidek menyangkal dakwaan 2 orang pemimpin Umno bahawa kerajaan PR hanya memberikan harapan palsu kepada rakyat.

Bakrin berkata sebahagian besar janji kerajaan PR di kelima-lima negeri PR berjaya ditunaikan walaupun kerajaan tersebut baru memerintah setahun. Ini berbeza dengan kerajaan BN yang sudah memerintah 51 tahun tetapi gagal menangani isu kebajikan rakyat malah mereka semakin ditekan dengan undang-undang 'drakonian' seperti ISA, AUKU, OSA, Akta Polis dan lain-lain.

Menurut Bakrin sebagai contoh kerajaan PR negeri Selangor mejaya menunaikan janji-janji mereka kepada rakyat yang tercatat di dalam manifesto Pilihanraya Umum lalu.

Antara janji-janji yang telah ditunaikan pada Fasa 1 ialah :-

1) Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) di mana setiap anak yang baru dilahirkan mendapat imbuhan RM100 pelaburan bagi semua bayi. Pelaburan itu bertindak sebagai insurans. Pada usia 18 tahun kanak-kanak bakal mendapat dividen berjumlah RM1,500. Sehingag kini sudah 2,000 bayi didaftarkan.Ia dilancarkan pada 1 Ogos 2008

2) Bekalan air percuma sebanyak 20 meter padu pertama. Lebih 1.5 juta isirumah sudah menikmati program ini.Dilancarkan pada 1 Jun 2008

3) Hadiah Anak masuk Universiti sebanyak RM1000. Sehingga ini 4,000 anak-anak Selangor sudah menikmati hadiah ini. Ia dilancarkan pada 1 Julai 2008

4) Caruman Takaful & Perubatan Percuma kepada warga emas. Seramai 31000 warga emas telah mendaftar dan sebanyak RM9.7 juta telah dibelanjakan untuk caruman ini. Pada tahun 2009 kerajaan Selangor memperuntukkan RM20.7 juta untuk caruman ini.

5) Program Peningkatan Hasil daripada Bahan Batuan dan Mineral. Dijangka hasil dari projek ini memberikan jumlah sebanyak RM50 juta kepada kerajaan negeri. Pendapatan kerajaan yang meningkat ini akan disalurkan kembali kepada rakyat. Program ini dimulakan pada 5 September 2008.

6) Pusat Khidmat Krisis Sehenti bagi membantu mangsa-mangsa deraan, seksual dan krisis rumah tangga.7) Tabung Pendidikan Anak-anak pekerja ladang dimulakan pada 31 Ogos 2008 dimana sejumlah RM3 juta diperuntukan untuk program ini.

"Selepas ini kerajaan negeri Selangor akan melaksanakan program dan janji di peringkat Fasa 2,3 dan 4 yang akhirnya akan menunaikan kesemua janji yang didrafkan pada manifesto mereka dahulu" tegas Haji Bakrin.

Beliau yakin kerajaan PR bukan sahaja di Selangor malah negeri-negeri lain akan berjaya menunaikan janji mereka secara berperingkat sebelum tamat pemerintahan penggal ini iaitu 2013.

"Tujuan kerajaan PR untuk merakyatkan kerajaan Insya Allah akan tercapai dengan komitment dan kerja kuat mereka, ditambah lagi dengan polisi kerajaan PR yang tidak membazir, tidak bertolak ansur dengan rasuah dan penyelewengan kuasa".

"Ini berbeza dengan kerajaan BN samada kerajaan pusat atau negeri yang ternyata gagal menangani masalah kebajikan rakyat walaupun telah memerintah 51 tahun lebih. Bakrin berkata program kebajikan seperti di Selangor juga sebahagian besarnya telah dan akan dilaksanakan di negeri-negeri Pakatan Rakyat yang lain.

Malangnya menurut Bakrin, kerajaan pusat dan kerajaan negeri BN tidak mahu mencontohi program-program kebajikan yang dilaksanakan di negeri-negeri PR menyebabkan rakyat di negeri-negeri tersebut terabai kebajikannya.

"Alangkah baiknya jika kerajaan negeri Melaka sendiri meniru dan mencontohi program kebajikan ini" tambahnya.

Comments