Apa sudah jadi dengan RM7 bilion pakej rangsangan pertama. Apakah ia sudah habis disuntik? Dalam sektor mana? Bila dan apa kesannya? Apakah ia menepati sasaran dan matlamat rangsangan? Apakah ia berjaya atau gagal? Terlalu banyak yang masih belum diketahui dan didedahkan.
Memang kerajaan dalam bajet mininya semalam memperuntukkan jumlah yang besar untuk program-program membantu rakyat seperti pembeli rumah diberikan pelepasan cukai; tambahan RM200 juta bagi membina Rumah Mesra Rakyat untuk golongan berpendapatan rendah dan sebagainya.
Namun apa yang penting bagi rakyat ialah mereka mempunyai pekerjaan dan pendapatan yang dapat menampung kehidupan seharian yang semakin mencabar.
Rakyat juga mahukan kerajaan supaya dapat mencari jalan supaya harga barang keperluan harian dapat diturunkan agar mereka dapat meneruskan kehidupan dengan lebih sejahtera.
Rakyat juga ingin melihat dan memantau sejauh mana bajet mini ini berkesan dalam menangani krisis ekonomi ini kerana kita tidak mahu ianya sekadar indah khabar dari rupa.
Selain itu kita tidak tahu peruntukkan ini diberi kepada siapa dan melalui siapa. Ini kerana sebelum ini terlalu banyak kebocoran kontrak yang diberi secara terus, margin terlalu tinggi, komisen terlalu tinggi, rasuah dan salah guna kuasa berleluasa. Keadaan ini akhirnya gagal untuk menggalakkan aktiviti ekonomi diperingkat bawahan.
Ini yang menyebabkan dasar ini tidak sesuai kerana tidak ada sikap pertanggungjawaban dikalangan menteri dan pemimpin. Kali ini semua pemerolehan kerajaan akan dibuat menerusi tender terbuka atau tender terhad, kecuali dalam kes-kes khusus, ini bermakna dalam kes khususnya tender secara rundingan ini masih dilakukan. Maka kita khuatir isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa akan berlaku juga.
Selain itu kerajaan seharusya meletakkan pemotongan cukai sebagai sandaran bagi menggalakkan dan daya saing di peringkat akar umbi rakyat dan sektor perniagaan.
Jika ekonomi rakyat diperkuat, maknanya pendapatannya lebih, cukainya berkurangan, pastinya rakyat akan lebih yakin untuk membelanjakan wang tersebut dan secara langsung meningkatkan kitaran ekonomi negara.
Jadi kita mengharapkan kerajaan benar-benar memastikan tiada kebocoran dan ketirisan dalam projek-projek dan program yang dijalankan. Selain itu terdapat juga pembaziran duit rakyat contohnya RM480 juta digunakan untuk menampung kenaikan kadar tol, sedangkan sepatutnya duit sebanyak itu tidak mudah mengalirkan begitu sahaja jika kontrak dan perjanjian tersebut tidak memihak kepada syarikat pengendali Tol tersebut.
Comments