Hakikat PPSMI...

Tanpa disedari ramai, bahasa Melayu rupanya menjadi bahasa yang kukuh kedudukannya di peta dunia. Buktinya, berdasarkan rekod daripada UNESCO, kini terdapat lebih 300 juta bilangan penutur bahasa Melayu di seluruh dunia walaupun berbeza segi dialeknya. Ini sekali gus menjadikannya sebagai bahasa tuturan ke empat terbesar di dunia.
Di sudut lain, terdapat 129 buah Institusi Pengajian Tinggi melibatkan 40 buah negara di dunia ada menawarkan kursus pengajian bahasa Melayu.Maknanya bahasa ini bukanlah seperti kata pepatah, melukut di tepi gantang. Tetapi ia menjadi bukti bahawa bahasa Melayu boleh dijadikan bahasa komunikasi antarabangsa.
Yang sedihnya kini kita sendiri tidak mahu memasyhurkannya malah lebih teruja kepada bahasa asing. Ini dibuktikan dengan perlaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Sepatutnya kita memartabatkan lagi bahasa Melayu bagi menaikkannya ke mata dunia.
Dengan perlaksanaan dasar itu, ia seolah-olah menidakkan kebenaran bahawa bahasa kita ialah bahasa yang mudah untuk dipelajari dan boleh di bawa ke peringkat antarabangsa. Dan ia tidak mustahil mampu dijadikan sebagai bahasa antarabangsa setaraf dengan bahasa Inggeris. Sebelum ini kerajaan sering melaungkan cintailah bahasa kita, adakan pelbagai kempen untuk memperhebatkan lagi penggunaan bahasa Melayu bukan sahaja di Malaysia malah juga di peringkat antarabangsa.
Tetapi Pada tahun 2003, kerajaan mengambil langkah untuk melaksanakan dasar PPSMI yang mana ia menampakkan kempen yang dilaungkan oleh kerajaan itu sendiri tidak berkesan di kalangan mereka. Inikah caranya untuk mendapatkan kepercayaan rakyat jika kerajaan mengadakan kempen-kempen lain selepas ini? Apabila pihak yang berkempen pun berpatah arang dan tidak berdiri teguh dengan apa yang dipegang, bagaimana ingin mempengaruhi rakyat dalam kempen yang lain.
Setelah hampir 6 tahun dasar PPSMI dilaksanakan mengapa hanya kini baru kerajaan ingin mengambil tindakan untuk menyelesaikan masalah yang timbul mengenai dasar itu? Selepas adanya bantahan keras daripada pejuang bahasa, setelah adanya tindakan demonstrasi jalanan bagi membuka mata kerajaan, setelah berlaku kekecohan baru kini pihak kerajaan mengeluarkan kenyataan masalah ini perlu diselesaikan segera.Mengapa baru sekarang? Apakah tiada sebarang kajian dijalankan mengenai akibat yang bakal dihadapi sekiranya dasar itu dilaksanakan?
Pihak kerajaan dilihat seperti baru bangkit dari tidur dek kerana bisingnya kekecohan yang berlaku ketika berlangsungnya demonstrasi membantah dasar itu.


fairusrazak: Sokong penuh anti PPSMI...

Dari Blog : fairusrazak.blogspot.com

Comments