BERHATI-HATI JANGAN MASUK PERANGKAP UMNO SEKALI LAGI

Sejak Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang melontar idea supaya sebuah kerajaan perpaduan di bentuk bagi mengurangkan politiking di negara kita, pelbagai pihak memberikan reaksi berbeza antara satu sama lain.

Antara 'respon' yang dapat kita tatap ialah yang dikeluarkan oleh Calon Timbalan Presiden Umno, Muhyiddin Yassin yang tersiar di akhbar arus perdana hari ini.

Muhyiddin 'bersurah' bahawa PAS perlu kemukakan butir terperinci dan lengkap jika berhajat untuk merealisasikan perkara tersebut.

Bagi saya itu tidak menjadi masalah kerana PAS sudah lama bersedia untuk bekerjasama dan bermuzakarah maupun berdebat dalam apa juga isu. PAS tidak pernah menolak untuk bekerjasama dengan sesiapapun hatta DAP yang dituduh anti Islam dan Melayu. Sesiapa pun boleh dan diterima oleh PAS untuk menjadi kawan hatta perompak dan penyamun. Syaratnya cuma satu iaitu perpaduan dan persefahaman itu mesti jelas dan sesuai dengan prinsip perjuangan PAS.
Saya yakin jika perpaduan mahu direalisasikan tetapi pihak yang ingin berkawan tidak berubah dengan amalan rasuah, menyeleweng, bongkak, zalim dan tidak menghormati demokrasi dan sebagainya sudah tentu PAS tidak bersedia untuk berkawan.


Mungkin ada orang akan bertanya mengapa PAS boleh berkawan dengan DAP tetapi bermusuh dengan Umno. Jawapannya mudah sahaja di sana banyak persamaan antara PAS dan DAP. Kedua-dua parti berjuang untuk menegakkan keadilan; menghapuskan rasuah dan penyelewengan; menghormati dasar dan perjuangan masing-masing; menentang sebarang penyelewengan, kezaliman, penyalahgunaan kuasa, amalan rasuah, kronisme dan sebagainya.


Soalnya mahukah Umno berubah dan meninggalkan 'fe'el' lamanya iaitu melindungi dan mengamalkan rasuah, tidak demokratik, menyalahgunakan kuasa, boros dan zalim kepada rakyat serta seribu satu macam lagi sifat buruk yang orang kampung semua sudah tahu.


Jika Umno benar-benar ikhlas ingin berubah saya yakin bukan sahaja PAS ingin berkawan dengan Umno tetapi PKR dan DAP juga sudah tentu ingin 'bercinta' dengan Umno, bukan setakat ingin berkawan.

Akhir sekali saya ingin meningatkan diri saya supaya berhati-hati dengan Umno yang sentiasa cuba menangguk di air keroh. Dalam suasana Umno semakin berkecamuk dan huru-hara ini sudah tentu mereka sekali lagi mencari dahan untuk berpaut sebagaimana mereka lakukan dalam isu muqabalah dan muzakarah tahun lepas.
Umno memang berpengalaman berlakon 'lembik tengkok' dan mencari simpati. Umno boleh berlakon memimikkan muka menjadikan orang lain kasihan dan simpati kepada mereka walaupun muka mereka sebenarnya penuh dengan kurap dan panau. Namun bedak yang mereka tampal di muka kadang-kadang menarik minat 'jejaka' miang untuk menguratnya.

Comments