AHLI DAN PEMIMPIN UMNO SUSAH UNTUK INSAF

Bakal Presiden Umno Pencen, Pak Lah menggariskan lima faktor yang menjadi punca penolakan rakyat terhadap Umno dalam ucapan'widak' sebentar tadi.

Antaranya beliau menyebut :

1) Setelah selesa kerana lama berada di tampuk kuasa, sebahagian pemimpin Umno tidak seakrab dahulu dengan rakyat jelata yang selama hari ini menjadi akar kekuatan Umno.

2) Tumpuan yang kurang seimbang kepada masyarakat luar bandar dalam keghairahan dan hasrat untuk mencapai status negara maju di peringkat global.

3) Program-program politik Umno yang kurang berkesan mendampingi generasi muda, selain dari apa yang dilaksanakan oleh pelbagai institusi kerajaan.

4) Perbalahan berpanjangan sesama sendiri terutama ketika berebut jawatan didalam parti telah meruntuhkan semangat kekeluargaan di kalangan ahli.

5) Sifat mengutamakan kebendaan hingga menjadikan sebahagian ahli bersifat tamak – bersifat haloba, lalu memberikan persepsi negatif bahawa Umno adalah parti yang korup..

Namun Pak Lah kena sedar bahawa amat susah untuk pemimpin dan ahli Umno berubah kerana Umno itu sendiri sudah menyimpang jauh dari ajaran Islam yang menjadi pelindung kepada apa juga sifat mazmumah.

Islam di dalam Umno hanya setaraf dengan Biro Pertanian dan Biro Tugas-tugas Khas. Islam hanyalah melukut di tepi gantang dalam Umno.

Akhirnya pemimpin dan ahli Umno menjadi tamak, sombong, tidak takut untuk menentang hukum Allah dan ajaran Islam yang menyebabkan mereka tidak takut untuk mengamalkan rasuah, melakukan kezaliman, penindasan dan sebagainya.

Selagi Islam tidak diambil sebagai jalan penyelesaian selagi itulah Umno akan terus hanyut dan tidak lama lagi akan ditalkinkan.

Satu cara sahaja untuk menyelematkan Umno iaitu kembali kepada ajaran Islam, tukar perlembagaan dan matlamat perjuangan kepada Islam serta berjuang bersama PAS untuk menegakkan Islam dan keadilan.

Insya Allah Malaysia dan rakyat tanpa mengira kaum dan ideologi akan selamat dan menjadi suatu negara dan bangsa yang maju.

Comments