Syabas saya ucapkan kepada Sasterawan Negara A . Samad Said yang sanggup kehilangan anugerah Sasterawan Negara (SN) demi perjuangan mempertahankan Bahasa Melayu yang tercinta.
"Saya sanggup dengan rela diri sekiranya ada orang ingin menarik balik gelaran Sasterawan Negara asalkan bahasa ibunda saya dikekalkan.
"Tiada gunanya gelaran tersebut kerana ia bukannya milik kekal dan saya adalah 'Sasterawan Rakyat' yang akan terus berjuang demi anak cucu bangsa Melayu.
"Saya bimbang sekiranya kita tiada nanti, anak cucu kita akan hairan apakah bahasa ibunda mereka nanti," katanya pada sidang media di kediaman rasmi Menteri Besar di JKR 10 petang tadi.
Memang beliau layak untuk dianugerahkan dengan gelaran SN ini kerana beliau bukan sahaja kreatif, kritis dan hebat berkarya malah beliau juga sanggup berjuang untuk mempertahankan bahasa ibunda tercinta. Tidak ramai yang sanggup melakukan perkara ini. Majoriti dari bijak pandai kita sayangkan pangkat, kedudukan dan wang ringgit sehingga sanggup duduk diam dan memerhatikan sahaja bahasa kita dihina dan dipinggirkan.
Saya menyeru seluruh bijak pandai dan cendikiawan mencontohi SN A Samad Said untuk tampil menggabungkan tenaga bersama-sama Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) bagi menyedarkan kerajaan betapa pentingnya Bahasa Melayu didaulatkan kembali di dalam negara kita.
Jangan hanya menonton sahaja cendikiawan seperti Prof Nik Safiah Karim, Prof Abdullah Hassan, Prof Dr Shahrir Mohd Zain, SN A Samad Said dan lain-lain sahaja yang berjuang.
Comments