SPR CARI JALAN UNTUK TIADAKAN PRK 2 'BUKIT'? ~ Ref Malaysiakini

Saya yakin jika SPR dapat mencari helah dan jalan untuk tidak mengadakan Pilihanraya kecil di Bukit Gantang dan Bukit Selambau sudah tentu SPR akan gembira. Ini kerana sudah SPR akan terus disanjung dan dipuji oleh BN kerana terus berjaya mendokong aspirasi dan kehendak BN.
Malangnya mereka tidak dapat berbuat demikian kerana tiada helah dan tipu muslihat yang dapat mereka lakukan kerana sememangnya Allahyarham YB Ahli Parlimen Bukit Gantang, Roslan Sahahrum memang meninggal dunia bukan main-main. Manakala surat YB Arumugam, ADUN Bukit Selambau memang sahih dan sah bukan 'tipu punya'.
Sejak insiden SPR menolak 2 PRK di Perak iaitu di DUN Changkat Jering dan Behrang, rakyat mula sedar bahawa antara peranan utama SPR selain dari mengadakan Pilihanraya, SPR juga berperanan untuk mengkaji dan menilai kesahihah surat perletakan jawatan Wakil Rakyat iaitu SPR telah 'merompak' peranan Speaker Dewan. Minggu tugas baru SPR ini sudah diperakukan oleh Undang-undang dan perlembagaan negara cuma saya kurang pasti bila ianya digubal dan diluluskan oleh parlimen.
Jadi selepas ini SPR mungkin akan melantik dan mencari beberapa 'specialist' untuk membantu kerja-kerja SPR mengkaji samada surat perletakan jawatan dan notis Speaker adalah tulen dan genuine. Begitu juga SPR mungkin melantik seorang doktor untuk mengkaji samada wakil rakyat benar-benar mati atau pura-pura mati. Selain daripada doktor specialist lain yang diperlukan ialah seorang Chemist dan seorang pakar tulisan atau tanda tangan yang pakar dalam kajian ketulenan surat dan ketulenan tandatangan seseorang.
Dengan adanya pakar-pakar ini SPR akan dapat memastikan kesahihan kekosongan parlimen atau DUN. Malah kemungkinan besar Speaker tidak perlu menghantar notis kepada SPR kerana SPR boleh menjalankan kerja-kerja tersebut secara professional.

Comments