Syabas rakyat Perak kerana akan mempunyai 2 Menteri Besar hari ini. Satu Menteri Besar yang dipilih oleh rakyat selepas PR mendapat majoriti pada PRU 12 dan satu lagi Menteri Besar yang dilantik selepas BN mendapat majoriti kerana rasuah, ugut dan lain-lain cara yang tidak bermaruah.
Menteri Besar sekarang, YAB Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dengan tegas menyatakan beliau tidak akan meletakkan jawatan selagi isu ini tidak diselesaikan melalui saluran perundangan.
Manakala satu pihak lagi mendakwa jika Nizar dan anggota Exconya tidak meletakkan jawatan dengan sendiri, maka jawatan-jawatan itu akan gugur secara automatik. Mana satu betul saya pun kurang arif.
Menteri Besar seorang lagi yang akan mengangkat sumpah pada jam 3.00 petang ini ialah Zambry Abdul Kadir, ADUN Pangkor yang terkenal dengan perangai keras dan degil pada Persidangan DUN Perak sebelum ini. BN memilih beliau dan diperkenankan oleh Sultan Perak semalam.
Saya berasa cukup sedih dengan situasi yang berlaku di negeri Perak kerana orang yang berkuasa tidak dapat memikirkan jalan terbaik untuk mengatasi kemelut ini.
Pada saya ada beberapa cara untuk mengatasi kemelut ini supaya ianya berakhir dengan baik. Badan yang berkuasa seperti Institusi Kesultanan dan SPR sepatutnya menggunakan budi bicara dan kearifan mereka berdasarkan undang-undang dan perlembagaan yang ada bagi mengatasi masalah ini.
Antara cara yang terbaik ialah :-
1) Membubarkan DUN berdasarkan kuasa Sultan atas nasihat Menteri Besar.
2) Menunggu keputusan Mahkamah terhadap kes yang difailkan oleh Speaker DUN Perak yang memberikan notis bahawa kerusi DUN Behrang, Changkat Jering dan Jelapang telah kosong. Selepas kes ini diputuskan mahkamah barulah keputusan samada mengadakan Pilihanraya Kecil atau perlantikan Menteri Besar dari BN dilakukan. Mahkamah boleh bersidang secepat mungkin kerana ini adalah kes yang melibatkan kepentingan rakyat.
Malang sekali apabila pihak berkuasa membelakangkan mahkamah dan peruntukan undang-undang yang ada sehingga menimbulkan rasa tidak puashati dikalangan wakil-wakil rakyat dan rakyat sendiri. Rakyat yang memilih PR sebagai parti yang mempunyai majoriti pada PRU 12 dahulu sudah pasti tidak berpuashati dengan keputusan yang dibuat semalam.
Apa akan terjadi jika selepas ada pula wakil rakyat dari BN melompat menyertai PR. Sudah tentu ianya menimbulkan kecelaruan dan kekeliruan. Isu ini akan berterusan dan tidak habis.
Comments