KESAL TINDAKAN KDN RAMPAS HARAKAH DAN SK ~ Ref Malaysiakini

Bukit Katil : PAS Negeri Melaka mengecam tindakan Kementerian Dalam Negeri melalui Bahagian unit kawalan penerbitan dan teks al-Quran yang merampas akhbar Harakah dan Suara KeADILan beberapa hari lalu. Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Haji Bakrin Sidek berkata tindakan tersebut menunjukkan bahawa kerajaan BN tidak mengamalkan dasar kebebasan media yang sering dilaung-laungkan mereka.
"Bila mereka melihat sokongan rakyat kepada mereka semakin menurun, BN akan memperkudakan agensi kerajaan untuk menentang PR. Inilah modus operandi mereka jika didapati mereka semakin kehilangan pengaruh".
"Sebagai contoh selepas PRU 10 (1999) BN kehilangan banyak kerusi sehingga tewas di Kelantan dan Terengganu, BN mengganas dengan mencantas penerbitan akhbar Harakah dari 2 kali seminggu menjadi 2 kali sebulan" kata beliau di sini hari ini.
"Kini skrip yang sama berulang. BN tewas teruk pada PRU 12 (2008) lalu apabila BN hilang majoriti 2/3 dan terlepas 5 negeri kepada PR. Jadi mereka akan mengganas lagi' tambah beliau lagi.
Menurutnya tindakan KDN merampas Harakah dan Suara KeADILan merupakan suatu penghinaan kepada rakyat.
Ini menunjukkan seolah-olah rakyat negara ini tidak dapat memikirkan yang mana baik dan yang mana sehingga kerajaan terpaksa menyekat dan merampas media-media yang tidak sehaluan dengan kerajaan.
"Rakyat hari ini sudah bijak, jika sesuatu akhbar itu menipu, menfitnah dan mereka-reka cerita sudah pasti mereka akan menolaknya dan tidak membelinya".
Bakrin juga hairan mengapa buku-buku, akhbar-akhbar dan majalah-majalah tahyul, lucah dan tidak berfaedah dibiarkan dijual secara terbuka tanpa kawalan tetapi akhbar-akhbar parti yang berdaftar didiskriminasikan.
"Padahal buku-buku, majalah-majalah lucah dan tahyul ini lebih memudaratkan masyarakat, Inilah sikap 'double standard' KDN yang diperkudakan oleh BN" tegas beliau.
Bakrin mengharapkan pihak KDN supaya bertindak dengan lebih professional dalam menjalankan tugas bukannya bertindak atas arahan dan pengaruh pihak BN yang semakin dibenci oleh rakyat.

Comments