ISU PPSMI : TURUN RAMAI-RAMAI 7 MAC ~ Ref Malaysiakini


Jasin : Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu menyeru seluruh rakyat Malaysia yang cintakan Bahasa Melayu supaya turun beramai-ramai pada 7 Mac ini bagi bersama-sama berhimpun untuk mengiringi Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) menyerahkan memo kepada Seri Baginda Yang Dipertua Agung.
Perhimpunan tersebut yang akan diadakan secara aman di pintu luar Istana Negara adalah bertujuan untuk menyatakan bantahan kepada kerajaan bahawa rakyat Malaysia menentang penerusan dasar PPSMI yang jelas merugikan rakyat Malaysia.
Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan pada program ceramah anjuran GMP dan PAS Kawasan Jasin di Simpang Kemendor dekat sini malam tadi. Mohamad Sabu dalam ceramahnya berkata, beliau hairan mengapa rakyat Malaysia tidak mahu menyokong saranan dan gesaan yang dibuat oleh para cendikiawan dalam GMP yang menggesa kerajaan memansuhkan PPSMI yang jelas merugikan bangsa dan negara.
"Anak-anak kita terpaksa menerima hakikat betapa susahnya subjek Sains dan Matematik ditambah pula dengan kesukaran memahami Bahasa Inggeris maka lagi banganglah mereka"
"Bahkan guru-guru juga turut jadi korban kerana mereka ini juga tidak mahir berBahasa Inggeris" kata Mohamad.
Beliau juga kesal kerana kerajaan BN hari ini lebih suka berpolitik dalam apa juga isu tidak kira yang melibatkan kepentingan umum seperti pendidikan dan kedaulatan bangsa.

"Sepatutnya dalam isu bahasa dan pendidikan seperti ini kita ketepikan politik dan kita sama-sama berfikir bagi menyelesaikan masalah ini, apa yang penting kita mahukan anak-anak bangsa dan negara tidak menjadi korban" jelas Mohamad.

Comments