BUKIT GANTANG : BN PENING KEPALA CARI CALON SESUAI ~ Ref Malaysiakini

BN mula merasa bahang panas untuk menghadapi PAS pada PRK Bukit Gantang. Ini kerana BN tidak mempunyai calon yang sesuai di kalangan anak tempatan.
Siang-siang lagi Umno Bahagian Bukit Gantang sudah memberi amaran supaya kepimpinan Umno memilih calon anak tempatan. Malangnya tiada anak tempatan yang hebat, berkarisma, berpengalaman dan baik untuk menentang calon PAS yang sudah tentu hebat.
2 nama disebut-sebut akan dicalonkan iaitu Timbalan Ketua Umno Bahagian Bukit Gantang Kamarulai Suleiman dan Calon Naib Ketua Wanita Umno, Kamilia Ibrahim. Malangnya Kamilia bukanlah anak tempatan beliau sekadar mempunyai saudara di Bukit Gantang.
Kamarulai pula bukanlah calon terbaik kerana pengalaman dan kelulusan beliau tidaklah setinggi mana.
PAS pula tidak ketandusan calon kerana ramai bakal calon yang hebat-hebat di persada nasional dan antarabangsa berasal dari Bukit Gantang. Malah mereka ini sering pulang ke kampung untuk menangani dan menyelami permasalahan orang kampung.
Antara calon yang sangat berpotensi adalah pasangan adik beradik anak kepada Tuan Guru Hj Ahmad Sungai Petai iaitu Ustaz Idris Haji Ahmad dan Prof Madya Hj Salleh Hj Ahmad. Kedua-duanya berkelulusan Sarjana (Masters) dalam bidang agama.
Ustaz Idris adalah AJK PAS Pusat, Bekas Pensyarah Kanan UiTM serta juga bekas pimpinan gerakan pelajar era 80-an. Beliau pernah menjadi Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Gantang dan pernah bertanding pada pilihanraya kecil DUN Changkat Jering selepas kematian ADUN BN Datuk Razlan. Beliau juga adalah bekas Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat. Selain itu beliau juga seorang yang petah berpidato.
Abang Ustaz Idris iaitu Prof Madya Hj Salleh Hj Ahmad merupakan Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM). Berpengalaman luas dalam pentadbiran semasa beliau menjadi Pensyarah di sebuah IPTA sehingga beliau bersara. Seorang ilmuan yang sangat disegani di Malaysia dan peringkat antarabangsa. Sering menjadi pakar rujuk dalam bidang agama.
Ustaz Idris dan Prof Madya mempunyai saudara mara yang ramai serta sebahagian besar penduduk Bukit Gantang berguru dengan ayahanda mereka Tuan Guru Haji Ahmad Sungai Petai.
Seorang lagi bakal calon yang berpotensi ialah anak jati Kampung Changkat Ibol, Bukit Gantang iaitu Idris Zakaria. Berumur 38 tahun, seorang ahli Farmasi berkelulusan Ijazah Farmasi dari USM. Beliau merupakan pimpinan pemuda di peringkat kawasan. Pernah bertanding pada PRU 2004 di DUN Trong. Cukup disegani oleh masyarakat kampung. Idris juga merupakan pimpinan gerakan pelajar di era 90-an. Keluarga beliau juga ramai di Bukit Gantang.
Tidak syak lagi BN bakal berhadapan dengan situasi yang sukar dengan kehebatan bakal calon-calon PAS yang saya nyatakan di atas. Namun begitu harus diingat bahawa ramai lagi calon yang hebat yang boleh diketengahkan oleh PAS seperti yang berlaku di Kuala Terengganu tempohari di mana PAS mengemukakan calon di luar jangkaan dan menang besar.

Comments