AYUH RAKYAT MELAKA BANTAH PPSMI 7 MAC

Saya menyeru seluruh rakyat negeri Melaka untuk turun beramai-ramai mengiringi pimpinan Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) di Kuala Lumpur pada 7 Mac ini bagi bersama-sama menyerahkan memo kepada Seri Padukan Baginda Yang Dipertuan Agong.
Memo tersebut memohon ke bawah Duli Tuanku mengambil tindakan sewajarnya bagi memberhentikan penerusan dasar Pengajaran Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.
Perjuangan memansuhkan PPSMI adalah perjuangan semua bangsa bukan hanya orang Melayu tetapi semua kerana sekiranya PPSMI ini diteruskan, Bahasa CIna dan Bahasa Tamil juga akan turut terjejas. Ini kerana mereka terpaksa menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di sekolah mereka.

Saya sangat dukacita atas sikap kerajaan yang tidak konsisten dan tegas dalam isu tersebut iaitu sama ada ingin meneruskan atau terus menghentikannya.
Ia seolah-olah menunjukkan bahawa mereka ini sebagai orang melayu tetapi tidak mencintai bahasa sendiri. Sikap yang ditunjukkan ini menggambarkan dua perkara iaitu tidak patriotik kerana Bahasa Melayu merupakan bahasa negara yang termaktub dalam perlembagaan tetapi mereka tidak begitu senang untuk melaksanakan perkara ini.

Yang kedua, mereka tidak berperikemanusiaan. Pendapat daripda tokoh-tokoh pendidik yang telah membuat kajian dalam tahun 2006 menyatakan bahawa 500,000 pelajar akan tercicir akibat daripada pelaksanaan PPSMI. Begitu juga dengan satu kajian yang dibuat oleh UPSI menyatakan bahawa 60 hingga 70 peratus mereka yang terlibat dengan PPSMI ini tidak memahami konsep sains dan matematik.

Akibat buruk daripada pelaksanaan PPSMI ini adalah kepada pelajar luar bandar dan golongan miskin di bandar yang tidak mempunyai latar belakang keluarga yang mahir berbahasa Inggeris.
Jadi, mereka ini memang tidak patriotik dan tidak berperikemanusiaan kerana kalau kita rasa marah dengan pembunuhan di Gaza, Iraq dan Afghanistan, kita juga sedang melakukan pembunuhan secara perlahan-lahan terhadap Bahasa Melayu dan anak-anak kita yang sedang belajar sekarang.

Bagi saya tanpa ilmu pada hari ini samalah juga seperti kita sedang melakukan pembunuhan, dan ini kita tidak sedar, sangat mendukacitakan.
UNESCO sendiri telah menjalankan kajian tentang penggunaan bahasa untuk subjek teras dan penting seperti Sains dan Matematik. Hasil kajian itu menunjukkan bahawa subjek-subjek ini lebih berkesan dan mudah difahami oleh pelajar jika ianya diajar dalam bahasa ibunda.

Comments