PRK KT : UNDI TAK SULIT, UNDI PAS KENA BUANG KERJA ~ Ref Malaysiakini

Tidak sampai 24 jam lagi pengundi Kuala Terengganu akan turun mengundi bagi menentukan nasib Wan Farid dan Wahid Endut serta Azahari Mamat @ Adam. BN kian terdesak itu antara perbualan yang menjadi topik hangat di kedai-kedai kopi dan di mana sahaja di sekitar parlimen Kuala Terengganu.
BN tidak boleh menyembunyikan kebimbangan mereka sehingga Presiden Umno dan Perdana Menteri yang jarang sekali turun berkempen pada mana-mana PRK terpaksa berbuat demikian bagi menjamin anak emasnya Wan Farid menang. Pak Lah sudah turun sehari dua selepas penamaan calon dan kini sehari dua sebelum pengundian beliau terpaksa turun sekali lagi. Nampak benar BN berada dalam keadaan cemas.
Antara situasi yang amat merimaskan BN ialah sokongan terbuka pengundi Cina kepada PAS. Kalau sebelum ini pada PRU 2008, pengundi Cina boleh dikatakan 60-70 % mengundi BN kini ianya berubaha di mana 70-80 % dari mereka cenderung untuk mengundi PAS. Ini amat membuatkan pemimpin BN dan Wan Farid sendiri tidak tidur malam.
Akhirnya disebabkan situasi meruncing ini maka BN terpaksa kembali kepada ajaran dan taktik lama mereka iaitu mengugut pengundi dan menyalahgunakan kuasa serta pegawai kerajaan untuk mempengaruhi pengundi.

Diberitakan Imam, Pegawai Kerajaan, Pekerja swasta dan lain-lain mula diugut dan ditawarkan dengan pelbagai habuan.
Antara ugutan yang berlaku didedahkan oleh Ketua Angkatan Muda PKR Terengganu, Mohd Fariz Musa yang mendakwa Mat Razali pernah berucap kepada kakitangan MBKT: "kalau berani dan tidak takut dibuang kerja, silalah (sokong pembangkang)".
Sementara itu Pesuruhjaya PAS Terengganu Dato' Mustafa Ali pula mendakwa bahawa seorang pemimpin BN berkata kepada kakitangan kerajaan, "pengundian tidak sulit, kita tahu apa yang kamu buat."
Mustafa meminta SPR membuat kenyataan terbuka mengenai kenyataan (bahawa) pengundian tidak sulit. Ini merupakan suatu ugutan kepada pengundi kerana kemungkina pengundi tidak berani mengundi PAS kerana takut diketahui oleh majikan masing-masing. Atau mungkin juga pengundi akan takut untuk membuang undi.
Mustafa juga mendakwa Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah menghadiri majlis memperkenalkan calon BN kepada kakitangan kerajaan di wisma Darul Iman. Sedangkan kata beliau, memperkenalkan calon kepada kakitangan kerajaan adalah salah di segi peraturan pilihanraya.

Comments