Saya yakin selepas ini Tsunami Besar yang kedua bakal berlaku. Tsunami besar pertama berlaku pada 8 Mac 2008, diikuti dengan Tsunami Sederhana pada Ogos 2008 di Permatang Pauh dan satu lagi Tsunami Sederhana pada 17 Januari lalu di Kuala Terengganu.
Tsunami Besar seterusnya bakal berlaku sedikit masa lagi dan ianya telah dimulakan oleh ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim semalam.
Ramai pemerhati politik tidak menolak kemungkinan bahawa selepas semakin ramai YB-YB dari BN akan melompat menyertai PR setelah lihat kapal BN semakin nazak dan hampir tenggelam. Semuanya adalah disebabkan keangkuhan pemimpin BN yang terus mempertahankan kedudukan mereka dengan menggunakan seribu satu macam cara hatta dengan melakukan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Akhirnya YB-YB, pemimpin-pemimpin Umno dan ahli-ahlinya sudah insaf dan sedar bahawa Umno dan BN tidak boleh diubati lagi, hanya menunggu masa untuk ditalkinkan.
Oleh itu kita di pihak PAS mesti bersedia sedaya mungkin untuk menerima kemasukan bekas-bekas pemimpin dan ahli-ahli Umno. Jangan kita hanya menjadi pemerhati kepada gelombang ini dengan hanya memerhatikan mereka ini menyertai parti-parti rakan kita iaitu PKR dan DAP sahaja. Kita mesti turut sama menawarkan mereka untuk bersama dengan perjuangan kita yang sama-sama kita dokongi ini.
Kita mesti yakinkan mereka bahawa PAS juga adalah sebuah parti pelbagai kaum, terbuka, telus, sistematik, kukuh dan sedia menerima sesiapa sahaja untuk bersama PAS melayari perjuangan menegakkan Malaysia Baru yang menjaminkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
PAS mesti bersedia dengan segala persiapan dari segi prasarana, modal insan, infrastruktur, kepakaran dan sebagainya bagi menghadapi situasi getir jika ditakdirkan PR memerintah Malaysia dalam masa terdekat.
Kita semua faham bahawa bukan mudah untuk kita menerajui sebuah kerajaan baru apatah lagi di peringkat pusat. Sudah tentu banyak kerenah, vakum, taktik dan strategi yang perlu dimainkan demi untuk meneruskan kesinambungan perjuangan PR dan parti-parit komponennya.
Bersedialah dari sekarang ................
Comments