PAS KONSISTEN SELESAIKAN ISU BABI ~ Ref Malaysiakini

Pengkalan Balak : PAS konsisten untuk menangani isu babi di Masjid Tanah. Memang sejak dari dahulu sebelum isu ini pun meletup PAS Melaka cuba menyelesaikan isu ini. Namun pada ketika itu isu ini tidak mendapat perhatian semua pihak samada rakyat atau kerajaan.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Adly Zahari dalam kenyataannya hari ini berkata PAS Melaka sentiasa konsisten untuk membantu rakyat tidak mengira kaum dalam isu ini.
"Kita tidak mahu ada pihak yang teraniaya akibat masalah pencemaran dan masalah lain yang mungkin timbul dari masalah tersebut."
"Isu ini sebenarnya bukan isu orang Melayu sahaja tetapi ianya melibatkan semua kaum, sebab itu PAS konsisten menyatakan bahawa pihak berwajib iaitu kerajaan negeri dan Jabatan Alam Sekitar gagal menangani isu ini selama ini".

"Sebab itu PAS Melaka akan memikirkan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas kerajaan negeri dan Jabatan Alam Sekitar kerana kegagalan mereka mengawal alam sekitar akibat pencemaran ternakan babi" kata Adly.

Menurut Adly, PAS Melaka juga bersetuju dengan cadangan Pewaris untuk menganjurkan Forum berkenaan isu babi ini sebagai salah satu cara untuk menerangkan kepada rakyat berkenaan isu ini.

Beliau mencadangkan supaya forum ini menampilkan Umno, Pewaris dan PAS sendiri sebagai satu flatform untuk parti-parti melayu dan NGO menyampaikan pandangan dan pendapat tentang isu ini kepada rakyat.

Selain itu menurut Adly, PAS tidak setuju dengan pandangan sesetengah pihak yang mengaitkan isu ini dengan perkauman.

"Ini bukan isu perkauman, tetapi ini adalah isu berkenaan alam sekitar yang tercemar lantaran kelemahan kerajaan negeri dan agensi kerajaan".
Oleh itu rakyat mesti mendesak kerajaan dan agensinya bertindak dengan peruntukan undang-undang yang ada bukannya berdasarkan kepentingan politik.

Adly juga tidak bersetuju dengan pandangan sesetengah pihak bahawa babi mesti dihapuskan terus dari Melaka.

"Ini kerana babi adalah makanan orang Cina dan kita mesti menghormatinya, apa yang penting ianya mesti diternak untuk keperluan setempat dan dijalankan dengan sistematik supaya alam sekitar tidak tercemar" kata Adly yang juga Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Pusat.

Beliau mendedahkan bahawa walaupun mungkin penternak babi tidak mempunyai lesen, tetapi tanah yang digunakan oleh mereka sesetengahnya adalah dikhususkan untuk penternakan babi. Menurut Adly di atas geran tanah tertera bahawa tanah itu adalah untuk penternakan babi.

Adly membuat kenyataan di atas pada pertemuan dengan Pewaris di D'Nelayan Resort Padang Kamunting di sini hari ini.
Turut hadir pada pertemuan tersebut ialah Pengerusi Pewaris, Rahimuddin Md Haron; Timbalan Pengerusi 1 Pewaris Hj Zakaria Othman; Timbalan Yang Dipertua PAS Masjid Tanah, Ustaz Imran Abd Rahman; Ketua Penerangan PAS Masjid Tanah Ustaz Julasopiyah Kasiim.

Comments