PAS DAN PR JANGAN ANGKUH - TOK GURU ~ Ref Malaysiakini

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta pemimpin PAS dan komponen Pakatan Rakyat tidak mengeluarkan kenyataan yang angkuh berikutan kemenangan PAS pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu semalam.
Tok Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, mengeluarkan kenyataan negatif seperti itu tidak akan membawa gambaran yang baik kepada parti dan menjejaskan persepsi masyarakat terhadap PAS.

"Jangan buat kenyataan yang boleh melukakan hati pihak lawan kerana tujuan kita buat kerja (memperjuangkan parti) adalah kerana dakwah.

"Kalau dia (pihak lawan) terluka, kita nak paut (pikat semula) dia tidak boleh. Jadi kita kena ingat, kerja kita adalah untuk akhirat," katanya di sini hari ini.

Barisan Nasional (BN) gagal mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu apabila calonnya Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh tewas kepada calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut dengan majoriti 2,631 undi pada pilihan raya kecil kawasan itu semalam.

Calon Bebas Azharudin Mamat @ Adam hanya memperoleh 193 undi dan hilang wang pertaruhan.

Tok Guru yang bersyukur dengan kemenangan PAS itu berkata kemenangan itu adalah petanda perjuangan PAS mula difahami oleh semua kaum termasuk penyokong DAP.

Beliau berkata ini menunjukkan yang mereka memahami bahawa PAS dan Islam tidak menolak kemajuan seperti digembar-gemburkan oleh pihak tertentu sebelum ini.

Ini dibuktikan sendiri dengan kemajuan dan pembangunan yang dibawa PAS di Kelantan mengikut acuan Islam sejak 1990, katanya. BERNAMA

Comments

Ya, ini satu-satu nya nasihat yang baik , saya pun tak sangka nasihat ni datang dari pihak PAS.

Kita tak harus ubah sikap setelah menang P.Pauh dan KT. Semua kemenangan ni ialah dari rakyat jelata yang mahu perubahan.
Kita juga harus memenangi para penyokong pihak bn untuk berubah dan beri sokongan kepada Pakatan.
Dengan kemenangan KT , harap para penyokong bn akan lihat Pakatan Rakyat dengan teliti bahawa Pakatan ialah untuk perubahaan demi rakyat.

Next stop, kita akan pergi ke Pensiangan di SABAH.
Nasihat yang baik datang dari pemimpin yang punyai akhlak yang baik dan unggul.

Walaupun beliau (Tok Guru) sendiri menjadi bahan kejian dan makian pihak BN semasa berkempen, tetapi beliau tetap meminta anak-anak buahnya menjaga adab dan hati serta perasaan penyokong BN semasa meraikan kemenangan.

Tidak hairanlah mengapa Cina, India dan Siam begitu sayangkan beliau di Kelantan.