OBAMA, APAKAH ANDA BERBEZA DENGAN BUSH ~ Ref Malaysiakini

Kalau Bush membunuh umat Islam di Iraq, Afghanistan dan lain-lain tempat tanpa belas kasihan, apakah Obama juga berperangai sedemikian?

Kalau Bush memanjakan Israel lebih dari anaknya sendiri, apakah Obama akan melayan Israel bagaikan menatang anak yang penuh?

Kalau Bush berperangan dan berlagak sebagai Polis dunia, apakah Obama akan menyantuni Israel bagaikan Intan Payung yang tidak boleh dijentik?

Kalau Bush menggunakan kuasa ekonomi dan vetonya untuk menekan negara lain, apakah Obama akan lebih ganas dan rakus menghentak negara-negara lain?

Itulah antara seribu satu persoalan yang bermain di kepala umat manusia seluruh dunia. Ucapan Obama pada majlis angkat sumpahnya awal pagi tadi masih samar-samar dan tidak boleh dijadikan ukuran 100 % tentang corak pentadbirannya. Mungkin beliau ikhlas tetapi terpaksa tunduk kepada pihak pelobi Yahudi yang akan mencorakkan sistem pentadbiran dan dasar dalaman serta luaran Amerika.

Kita tunggu dan lihat sahaja. Jangan diberikan harapan yang besar kepada beliau kerana kita faham dengan Firman Allah S.W.T , "Orang Yahudi dan Nasora tidak akan redha kepada mu sehinggalah kamu mengikuti Millah (agama) mereka."

Dalam ucapannya pagi tadi Obama menyatakan :-

"Kita telah memilih harapan di sebalik kebimbangan, perpaduan yang bertujuan di sebalik konflik," kata beliau dalam ucapan sulungnya sejurus selepas mencipta sejarah sebagai Presiden yang baru bagi AS.

"Bermula hari ini kita perlu bangkit, membuang yang keruh dan kembali bekerja untuk membina semula Amerika," kata Presiden berusia 47 tahun, dari parti Demokrat, di hadapan rakyatnya yang masih bimbang dengan kesan kemelesetan ekonomi paling teruk sejak 1930-an.

Malah, ucapannya juga menyampaikan mesej yang jelas kepada dunia dan negara-negara Islam selepas diselubungi pelbagai persepsi negatif sejak 11 September 2001 di bawah pentadbiran Presiden George W. Bush.

"Amerika merupakan rakan kepada setiap negara dan setiap lelaki, wanita dan kanak-kanak yang inginkan masa depan yang aman dan bermaruah, dan di mana kami bersedia untuk menerajuinya sekali lagi.

"Kepada dunia Islam, kita harus menerokai perjalanan baru berdasarkan kepentingan bersama dan penghormatan bersama," kata beliau sambil menekankan, "ia tidak diberikan tetapi harus diperoleh."

Bagaimanapun Obama memberi amran bahawa Washington akan berhadapan dengan mana-mana pihak yang menggunakan "keganasan" dan memenggal mereka yang tidak berdosa tanpa sebarang kompromi.

"Kepada dunia Islam, kami inginkan satu arah tuju yang baru," kata Obama lagi.

Malah dalam ucapannya itu, Obama juga bertekad untuk menangani krisis ekonomi dan kesan peperangan di dua negara, yang secara langsung menjejaskan imej Washington di kaca mata dunia.

Obama yang dipilih sebagai Presiden AS pada 4 November lalu menyempurnakan upacara itu kira-kira 1.06 pagi (waktu Malaysia) di hadapan Ketua Hakim John Roberts.

Obama merupakan Presiden AS yang kelima paling muda dan beliau menggantikan Bush.

Comments