Hina daya intelek rakyat punca BN Kalah ~ Ref Malaysiakini

KUALA TERENGGANU: Lima hari selepas pilihanraya kecil, penulis berpeluang kembali semula ke Kuala Terengganu untuk mendapat gambaran lebih tepat faktor kemenangan PR dan kekalahan BN dalam PRK tersebut.

Kebetulan sekumpulan pengundi dari kalangan guru telah ditemui. Golongan ini dipercayai menjadi faktor utama kemenangan Allahyarham Dato’ Razali Ismail dalam dua PRU berturut-turut.

Apabila ditanya tentang kekalahan BN, seorang pengetua perempuan dengan pantas beliau menjawab BN kalah kerana kedunguan mereka sendiri.

“BN menganggap orang lain bodoh macam mereka juga,” kata beliau yang merupakan salah seorang pengetua senior dan orang penting dalam urusan pendidikan di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT)..

Pengetua tersebut memaklumkan beliau menerima 20 khidmat pesanan ringkas (sms) daripada jentera kempen BN dan dua daripada jentera kempen Pas. Beliau sendiri menunjukkan kepada Siasah pesanan-pesanan tersebut.

Semua pesanan daripada jentera kempen BN menurutnya menggunakan pengenalan WARDAH dan MyNews, manakala pesanan daripada jentera kempen Pas menggunakan nombor telefon peribadi.

Penbincanganl panjang dengan pengetua tersebut menunjukkan beliau gembira dengan kekalahan BN.

“BN langsung tidak tahu menghormati budaya intelektual di mana semua pesanan ringkas yang diterima daripada jentera kempen BN seolah-olah dituju kepada orang kampung yang tidak berpelajaran serta tidak diakseskan kepada sumber maklumat lain selain sumber propaganda BN.,” katanya.

“Kita sungguh hairan bagaimana pesanan yang menggunakan slogan ‘masihkah kau ingat’ dan ‘Pas kluk klek’ serta semua isu yang dibangkitkan seperti hudud, tabika kemas, negara Islam dan lain-lain itu telah difahami dengan jelas terus diulang-ulang semacam orang payah sangat nak faham,” ujarnya yang menganggap tindakan seperti itu satu penghinaan kepada golongan pengundi terpelajar seperti beliau.

Beliau kemudian memuji pendekatan PAS yang nyata jauh berbeza.

Menurut beliau, dua mesej yang diterima daripada jentera kempen Pas adalah bercorak rayuan dan mengajak kea rah perubahan. Katanya, Pas lebih menghormati golongan intelek berbanding BN.

Seorang lagi pengundi yang ditemui ialah seorang pegawai akademik di sebuah PPD.
Seperti pengetua tadi juga, beliau menerima puluhan mesej daripada jentera BN dan lima mesej daripada jentera PAS.

Apabila ditunjukkan, didapati mesej yang diterima daripada jentera BN sama seperti yang diterima oleh pengetua tadi.

Namun bagi Pas, hanya mesej yang mengandungi rayuan daripada calon Pas, Mohd Wahid Endut sahaja yang sama dengan mesej yang diterima pengetua tadi. Itupun menggunakan nombor telefon yang berbeza.

Seperti pengetua tadi juga, beliau rasa cukup terhina dengan mesej-mesej yang diterima daripada jentera BN. Menurut beliau, BN sepatutnya membezakan strategi kempen bagi kumpulan pengundi yang berlainan.

Daripada perbualan dengan beliau, didapati beliau adalah penyokong kuat Allahyarham Dato’ Razali sebelum ini.

Beliau mengaku tidak keluar mengundi tanpa menyatakan sebab. Beliau mungkin salah seorang penyokong BN yang tidak keluar mengundi kerana protes.

Pada sebelah petang, seorang guru yang merupakan kenalan lama mengajak minum petang bersama beliau. Apabila pergi, rupa-rupanya beliau bersama dengan lebih kurang dua puluh orang guru lain. Mereka baru selesai bermesyuarat di sebuah premis JPNT berhampiran.

Hampir seluruh perbualan mereka pada petang tersebut dipenuhi lawak dan sindiran tentang ‘kluk klek’ dan ‘masihkah kau ingat’. Semua tergelak besar apabila setiap ayat yang disebut dalam perbualan mereka akan didahului atau diakhiri dengan dua frasa keramat tersebut.

Banyak maklumat yang dapat dicungkil daripada perbualan mereka. Kesimpulannya, golongan guru menolak BN dalam PRK Kuala Terengganu yang lepas. Perbualan dengan mereka turut mengesahkan bahawa merekalah yang bertanggungjawab memenangkan Allahyarham Dato’ Razali sebelum ini.

Pendekatan Dato’ Razali yang lebih intelek, menghormati orang lain dan tidak begitu keras berpolitik mungkin menjadi faktor penarik kepada golongan guru. Pendekatan berbeza yang diambil oleh BN dalam PRK ini menjadi faktor mereka menjauhi BN.

Oleh : Mohamed Zainal Abidin Hussein

Comments