Kira-kira 45,000 pekerja dari pelbagai sektor pengilangan mungkin kehilangan pekerjaan apabila kebanyakan kilang akan memberhentikan sementara pekerja menjelang perayaan Tahun Baru Cina hujung bulan ini.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, perkara itu berlaku kerana pengurusan kilang akan menutup operasi selama dua atau tiga minggu dan pekerja diminta mengambil cuti sama ada diberi cuti bergaji atau tanpa gaji.
Memang tidak dinafikan masalah pembuangan kerja akan semakin ketara dalam beberapa bulan akan datang. Malangnya kita belum nampak tindakan drastik dan terancang kerajaan BN bagi menghadapi masalah ini.
Menteri berkenaan nampaknya sedar akan perkara ini, namun beliau dilihat hanya memaklumkan bilangan pekerja yang akan kehilangan pekerjaan tetapi tidak membentangkan program atau jalan penyelesaian kepada masalah ini.
Bagi saya apa yang penting kerajaan mesti merangka satu kaedah dan program yang akan dapat membantu semua pekerja yang malang ini. Mungkin khidmat nasihat, kaunseling dan sebagainya boleh diberikan kepada mereka di samping mencari pekerjaan baru atau menyediakan geran untuk mereka memulakan perniagaan.
Jangan kita hanya tunggu dan lihat. Apabila sampai keadaan meruncing barulah terkial-kial mencari jalan penyelesaiannya. Malangnya sudah acap kali kerajaan BN gagal menangani masalah pembuangan pekerja ini seperti yang kita lihat pada tahun 1987, 1997 dan kini 2009.
Apakah kerajaan BN mahu mengulangi kesilapan lampau??
Comments