UMNO BAKAL TERJERAT UNGKIT ISU HUDUD ~ Ref Malaysiakini

Menjelang PRK Kuala Terengganu, BN menggunakan isu hudud untuk memerangkap PAS. BN mungkin merasakan dengan isu hudud ini pengundi Melayu akan hilang keyakinan kepada PAS lantaran PAS masih gagal mengamalkan undang-undang Islam itu di Kelantan dan 4 buah negeri PR yang lain.
Pada masa yang sama BN juga cuba menakut-nakutkan pengundi Cina dengan hukum hudud ini.
Namun saya yakin rakyat dan pengundi Kuala Terengganu sudah masak dengan taktik BN yang menggunakan media untuk mempengaruhi pengundi. Isu ini mula disensasikan oleh media dengan memetik jawapan Naib Presiden PAS, Husam Musa yang menyatakan PAS tetap konsisten ini mengamalkan Hukum Hudud jika PAS memerintah Malaysia.
Husam dilaporkan berkata demikian pada wacana anjuran Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan, ketika beliau menjawab pertanyaan seorang lagi ahli panel pada program tersebut iaitu Khairy Jamaluddin.
Media sengaja membesar-besarkan isu ini sedangkan banyak isu lain yang diperdebatkan pada program tersebut.
Saya sangat gembira dengan keputusan BN menggunakan isu hudud ini kerana ternyata ianya memakan diri. BN mengharapkan DAP melenting dengan pendirian PAS. Namun ternyata DAP matang dan rasional. Pemimpin-pemimpinnya memberikan 'feedback' yang baik dengan menyatakan mereka menghormati pendirian PAS dan semua langkah kearah pelaksanaan itu boleh dibincangkan di kalangan komponen PR.
Malah Naib Pengerusi DAP, M. Kulasegaran secara jelas yakin bahawa orang Cina tidak akan terjejas dengan pelaksanaan hukum hudud. Pemimpin DAP juga yakin pengundi Cina di Kuala Terengganu akan mengundi PR bagi membantu kemenangan PAS.
Bagi pengundi Melayu pula sebahagian besar mereka faham bahawa kegagalan PAS mengamalkan hukum hudud di Kelantan adalah disebabkan halangan kerajaan pusat dan perlembagaan negara Malaysia sendiri. Mereka faham bahawa sebarang enakmen negeri yang bertentangan dengan perlembagaan negara sudah pasti terbatal dengan sendirinya.
Malah orang Melayu dan Islam masih ingat bagaimana biadapnya bekas Presiden Umno, Dr Mahathir yang menghantar surat amaran dan ugutan kepada Kerajaan Kelantan yang berhasrat untuk mengamalkan undang-undang hudud setelah ianya diluluskan oleh DUN Kelantan.
Maka tidak syak lagi kegagalan Kelantan menggunapakai undang-undang hudud bukannya disebabkan PAS tetapi adalah kerana halangan dari kerajaan BN.

Comments