PRK KUALA TERENGGANU : TERKENANG PRK BUKIT PAYONG DAN KUALA BERANG ~ Ref Malaysiakini

Sepanjang sejarah Pilihanraya Kecil (PRK) di negeri Terengganu saya berkesempatan untuk bersama-sama membantu kempen PAS di dua PRK iaitu Bukit Payong dan Kuala Berang. Namun begitu saya tidak dapat bersama pada PRK Teluk Pasu yang bersejarah.

Memang saya tidak boleh duduk diam di kampus kalau ada PRK. Badan saya sahaja sebenarnya yang ada di kampus tetapi otak, jiwa dan fikiran berada di medan PRK.
Pengalaman pertama saya membantu PAS ialah semasa PRK Pantai Merdeka ketika itu Dato' Muslim Othman bertanding mewakili PAS. Saya bertugas di Pekan Kota Kuala Muda bersama kontinjen Pulau Pinang. Saya ketika itu berada dalam tahun dua pengajian saya.

Sehingga kini saya masih mengingati sahabat-sahabat saya dari kontinjen PAS Pulau Pinang seperti Anuar Rejab, Nurhalim Mat Zin, Rashidi Salim (To'), Pak Mid, Abang Jalil, Abang Jamil, Juhari, Shamsul Kamal, Kamal, Mat Nor Driving School, Buji, Imran Kasyaf, Mae, Mansor, Man Ayam dan ramai lagi yang muka mereka masih saya ingat tetapi namanya saya sudah lupa, minta maaf. Mereka memang merupakan petugas tetap kontinjen Pulau Pinang dari satu PRK ke satu PRK.

Semasa PRK Bukit Payong diadakan saya masih belajar di sebuah IPTA. Saya seorang diri datang dari Utara tanahair menaiki motorsikal Honda Raider saya (PBD 9338 - mana agaknya motor kesayangan saya ini sekarang?).

Saya ditugaskan berkempen di sebuah kampung tidak jauh dari Pekan Bukit Payong tidak salah saya nama kampung itu ialah Kampung Pengkalan Halban. Bersama-sama dengan dua orang sahabat dari Universiti Malaya (UM - dah lupa nama mereka) saya pergi rumah ke rumah bertemu Pok Cik dan Mok Cik.

Seperkara yang saya tidak boleh lupakan ialah apabila salah seorang pegawai Hal Ehwal Pelajar (HEP) IPTA yang saya belajar cuba menjejaki kami. Kebetulan beliau telah berjumpa di sahabat saya di sebatang jalan di Bukit Payong. Beliau bertanya kepada sahabat saya samada ada atau tidak siswa-siswi berkempen di situ. Apa lagi sahabat saya menipu pegawai tersebut dengan berkata tidak ada mungkin ada di tempat lain, katanya.

Pada PRK itu BN menggunakan strategi menempatkan puluhan ribu askar dan polis untuk menakutkan pengundi dan menganggu kelancaran jentera kempen PAS. PAS tewas dengan majoriti kecil.

Sementara itu semasa PRK Kuala Berang pada bulan Ogos 2004, saya bersama-sama kontinjen dari Melaka ditempat di sebuah Peti Undi yang saya pun tidak ingat namanya. Namun semasa pilihanraya tersebut jentera PAS betul-betul defensif maklumlah masih berkabung ekoran kekalahan teruk PAS di Terengganu dan pusat. Saya banyak makan tidur dari berbuat kerja. PAS tewas dengan majoriti yang agak besar.

Peristiwa yang saya tak dapat saya lupakan ialah kesyahidan dua orang sahabat saya iaitu Allahyarham Hisham dan Allahyarham Pak Daud dari Durian Tunggal yang meninggal dalam kemalangan di Muadzam dalam perjalanan pulang dari Kuala Berang. Sementara sahabat saya seorang lagi Saudara Naszuwan Abu Bakar terselamat namun beliau hilang ingatan selama 3 bulan. Tetapi Allah maha kaya mengurniakan keselamatan dan kesejahteraan kepada Naszuwan di mana beliau kini pulih seperti sedia kala. Beliau terus istiqamah berjuang bersama PAS hingga ke saat ini. Insya Allah beliau akan sekali lagi turun membantu PAS di Kuala Terengganu.


Comments

khairul said…
Kenangan PRK Buikit Payong masih melekat di memori saya,,,Ingat tak kita menumpang di rumah Ping masa tu,,,,kita mandi telaga.

Saya kena bertugas kat kg tu,,,lupa dah tapi Mok Cik dan Pok Cik tu masih ingat,,,,,

Khairul