SPR sudahpun menerima notis kekosongan kerusi Parlimen Kuala Terengganu berikutan kematian Ahli Parlimennya Allahyarham Datuk Razali Ismail.
Dijangkakan SPR akan bermesyuarat minggu ini atau minggu hadapan. SPR terpaksa juga mengadakan pilihanraya pada bulan Disember ini walaupun banjir sedang melanda Terengganu.
Saya menjangkakan SPR akan menetapkan bahawa tarikh penamaan calon pada 19 Disember dan jika ada pertandingan, pembuangan undi di jalankan pada 28 Disember.
Walaupun SPR mempunyai 60 hari selepas menerima notis kekosongan kerusi, SPR biasanya tidak mengambil masa yang panjang untuk menyelesaikan tuntutan demokrasi ini kerana SPR mempunyai jentera yang siap sedia bila-bila masa.
Pilihanraya Kecil kali merupakan pilihanraya terakhir di bawah pentadbiran Pengerusi SPR sekarang Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang akan menamatkan tempoh perkhidmatannya pada 31 Disember ini. Rashid akan digantikan dengan Datuk Abdul Aziz Yusof bermula pada 1 Januari 2009.
Kemungkinan besar beliau juga tidak terlibat secara langsung dengan Pilihanraya kecil ini kerana beliau sekarang berada di Tanah Suci Mekah menunaikan Fardhu Haji.
SPR juga sekarang ini tidak mempunyai Setiausaha kerana setiausaha yang lalu telah bertukar ke kementerian lain.
Saya mengharapkan pilihanraya kecil ini kali ini menjadi titik tolak kepada SPR untuk melakukan reformasi secara total supaya tiada lagi rungutan dari parti-parti politik dan rakyat bahawa SPR tidak telus, berat sebelah dan menyalahgunakan kuasa.
Sebelum ini SPR sering dicemuh kerana gagal menyelesaikan masalah pengundi hantu, nama pemilih yang bertindan, nama pemilih yang hilang dari daftar, pemilih ditukar ke tempat lain dan sebagainya.
Comments