PRK KUALA TERENGGANU : PELUANG PAS-UMNO 50:50 ? ~ Ref Malaysiakini

Pakatan Rakyat (PR) dan BN tidak boleh mendabik dada akan menang mudah pada pilihanraya kecil itu nanti.
Kedua-dua parti tersebut dilihat mempunyai peluang yang agak seimbang untuk menang. Antara faktor penting menentukan siapa menang ialah kekuatan jentera, faktor pemilihan calon, penggunaan politik wang/rasuah, penyalahgunaan media dan jentera kerajaan oleh BN.
PAS/PR sudah pasti terpaksa berhadapan dengan jentera kerajaan dan duit yang akan digunakan oleh Umno/BN.
Selain itu SPR juga dilihat mempunyai pengaruh besar kepada kempen kali ini. Jika SPR benar-benar mengikut dan tunduk kepada peraturan dan undang-undang pilihanraya sudah tentu BN akan terkesan dengan tindakan yang akan diambil oleh SPR ini.
Di sinilah rakyat ingin menguji dan melihat kredibiliti dan kesungguhan Pengerusi baru SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof dalam mengendalikan Pilihanraya pertama kendalian beliau.

Apa yang menarik perhatian saya ialah kaji selidik yang dilakukan oleh sebuah badan bebas Ilham Center selama beberapa hari di sekitar Parlimen Kuala Terengganu menunjukkan kekuatan kedua-dua parti agak seimbang dan setara.

Ilham Centre menjelaskan bahawa firma tersebut telah menemui 622 responsden terdiri dari kalangan penyokong PAS, Umno dan tidak berparti. Mereka juga datang dari pelbagai kategori umur, lokasi luar bandar dan bandar, bangsa, Dun berlainan dan sebagainya.

Hasil dari kajiselidik tersebut membuktikan bahawa peluang kedua-dua iaitu PR dan BN untuk menang adalah seimbang.

Salah satu fakta menarik yang ditemui mereka ialah walaupun responden Umno lebih ramai dari PAS/PR iaitu 311 berbanding responden PAS/PR (205) dan lain-lain (106), namun keputusan kajiselidik menunjukkan 24.8% responden berpendapat PAS/PR akan menang berbanding 20.9 % memilih BN dan 50.3 % menjawab tidak tahu.

Ini menunjukkan ramai ahli dan penyokong Umno tidak berapa yakin BN akan dapat mempertahankan kerusi parlimen Kuala Terengganu.

Kajiselidik mendapati bahawa responden meragui keupayaan kedua-dua parti iaitu PAS/PR dan BN dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat. Ini terbukti apabila sejumlah 467 responden merasakan Pilihanraya Kecil ini sangat penting untuk mereka menyuarakan masalah setempat atau tempatan.

Responden juga memberikan isyarat jelas bahawa calon BN yang paling mereka sukai ialah Dato' Wan Farid Wan Salleh. Namun beliau sudah pasti tidak dicalonkan kerana telah menerima perlantikan sebagai Senator untuk sepenggal lagi. Calon kedua paling popular ialah Bekas Ketua Penerangan Umno Bahagian Kuala Terengganu iaitu Hj Zubir Embong.

Bagi PAS pula calon popular ialah ADUN Batu Burok, YB Dr Syed Azman di mana 126 responden memilih beliau berbanding calon-calon lain iaitu Hj Mohd Sabu (73 responden); Dato' Wan Abdul Mutalib Embong (12) dan Dato' Mustafa Ali (3 responden). Manakala sejumlah 349 responden menjawab tidak tahu.

Ilham Centre membuat andaian bahawa Umno kemungkinan besar meletakkan Haji Zubir Embong sebagai calonnya kerana penerimaan masyarakat tempatan yang cukup menyenangi beliau. Ini bermakna PAS sewajarnya meletakkan calon yang juga disukai oleh responden kajian ini iaitu YB Dr Syed Azman yang jauh meninggalkan calon-calon lain iaitu Mohd Sabu, Wan Mutalib dan Mustafa Ali.

Pada pengamatan politik saya, adalah kurang bijak sekiranya PAS tidak meletakkan Syed Azman yang begitu popular di kawasan ini bertanding menentang bakal calon BN iaitu Zubir Embong. Ini kerana dari kajiselidik dibuat oleh Ilham Centre menunjukkan Syed Azman diterima oleh sebahagian besar penyokong Umno dan semua golongan tua atau muda berbanding calon PAS lain.

Comments