PAS calonkan Prof Khazani sebagai calonnya pada PRK Kuala Terengganu? Itulah posting yang dinukilkan oleh sebuah blog antara beratus-ratus blog yang membicarakan tentang PRK Kuala Terengganu.
Dari mana sumber blog itu perolehi saya pun tidak tahu, mungkinkah blog tersebut dapat membaca hati dan gerak Presiden PAS yang dilaporkan akan memilih calon yang paling sesuai setelah mesyuarat AJK PAS Pusat 21 Disember lalu tidak membuat keputusan untuk memilih calon PAS.
Maka banyak pihak mendakwa bahawa kini tugas memilih calon diamanahkan kepada kebijaksanaan Presiden PAS. Ini kerana semua calon yang dikemukakan sudah tentu semuanya layak dan lepas tapisan Ahli Majlis Syura Ulama'.
Bagi saya tidak salah untuk blog-blog itu membuat ramalan dan telahan walaupun ianya mungkin betul atau tidak betul. Mungkin jika betul ia hanyalah secara kebetulan sahaja.
Pada pandangan saya, PAS perlu meneliti semua petunjuk dan maklumat sebelum memilih calon tersebut. Saya sangat bersetuju dengan pandangan Datuk Seri Tuan Guru Presiden yang menyatakan semua pandangan akan diambilkira hatta surat layang dan blog yang mempunyai pandangan masing-masing.
Maka sudah tentu PAS akan mengambilkira pandangan dan cadangan cawangan-cawangan yang dengar khabarnya mahukan ADUN Batu Burok, YB Syed Azman Syed Ahmad dicalonkan bagi mewakili PAS pada PRK ini. Pandangan ini dikuatkan lagi dengan keputusan kajiselidik Firma bebas, Merdeka Centre; Centre for Election Reform (CERI) dan Ilham Centre semuanya menunjukkan bahawa Syed Azman mengatasi bakal-bakal calon lain.
Jadi bagi saya pandangan cawangan-cawangan dan firma bebas ini patut diambilkira dengan serius bagi memastikan akar umbi berpuashati dengan calon pilihan mereka. Malah adalah penting untuk PAS menampilkan calon muda dan professional bagi mengimbangi calon BN yang muda belia.
Comments