PAS MELAKA TIDAK PINGGIRKAN ISU BABI ~ Ref Malaysiakini

Pelbagai pihak cuba menuding jari mengatakan PAS Melaka bersifat lepas tangan terhadap isu babi di Melaka. Ini tidak benar sama sekali.

PAS Melaka mempunyai pendirian yang konsisten dalam isu babi. Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman (gambar) dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Adly Zahari sememangnya dari awal isu ini berbangkit sentiasa memantau isu ini bagi memastikan semua pihak yang terlibat tidak dizalimi dan ditindas. PAS Melaka telah mencadangkan pelbagai kaedah penyelesaian namun ianya tidak diendahkan oleh pihak terbabit.

Malah PAS Kawasan Masjid Tanah sendiri sentiasa mengikuti perkembangan isu ini disamping mengambil beberapa jalan dan langkah sesuai bagi menangani isu ini yang kerapkali dieksploitasi oleh pihak tertentu untuk kepentingan politik.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Adly Zahari bersama-sama pimpinan PAS Kawasan Masjid Tanah seperti Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Ustaz Imran Abdul Rahman (gambar) dan Ketua Penerangan Kawasan Ustaz Julasopiyah Kassim sudah beberapa kali turun padang bertemu penduduk setempat termasuk para penternak babi bagi menyelesaikan isu ini.

Namun PAS Melaka tidak mahu terjebak dengan isu perkauman yang dimainkan oleh pihak tertentu yang cuba melaga-lagakan orang Melayu dan orang Cina serta penternak-penternak babi. Oleh kerana itu pemimpin PAS Melaka tidak mahu terlibat dengan demonstrasi yang dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu yang jelas cuba mengheret isu ini menjadi isu perkauman.

Banyak kain rentang yang dipasang di kawasan terbabit memperlihatkan bahawa isu ini cuba dijadikan isu perkauman yang merbahaya kepada keharmonian rakyat Malaysia.

Bagi PAS Melaka isu ini mesti diselesaikan dengan baik bagi mengatasi masalah pencemaran alam sekitar dan bau busuk yang menganggu penduduk bukan sahaja orang Melayu malah semua kaum dan pada masa yang sama kebajikan penternak babi juga perlu diambil kira.

Kerajaan Negeri Melaka mesti mencari kaedah yang tepat, adil dan diterima semua pihak dalam usaha untuk menyelesaikan isu alam sekitar dan isu penternakan haram babi di Masjid Tanah.

Pelbagai kaedah boleh dilakukan antaranya mencari tapak baru penternakan babi, memberi insentif kepada penternak yang menghapuskan ternakan mereka, memberikan lesen kepada penternak dengan menghad jumlah ternakan untuk kegunaan negeri Melaka sahaja dan lain-lain kaedah yang sesuai.

Kerajaan negeri Melaka juga mesti memulihara alam sekitar teruk tercemar di kawasan tersebut demi menjaga kebajikan penduduk setempat.

Comments