Walaupun serba kekurangan dari segi dana, tenaga penggerak, peralatan namun ianya tidak melemahkan Nisa' Melaka untuk meneruskan gerakerja mendidik dan mentarbiyah remaja perempuan supaya menjadi insan solehah dan berguna kepada agama, bangsa dan negara pada masa depan.
Saban tahun Nisa' Melaka menjalankan program-program kebajikan dan tarbiyyah bagi membentuk remaja yang cemerlang dari segi akhlaq dan kerjaya.
Bertempat di Taman Seribu Bunga, Ayer Keroh, Melaka Khamis lalu, Nisa' Melaka berjaya menjalankan suatu program yang dinamakan 'JOM ENJOY BERSAMA NISA' . Program ini berjaya menarik minat 70 orang peserta yang datang dari seluruh pelusuk negeri Melaka.
Pengarah Program, Nazeeroh Zainal berkata pihaknya bersyukur kepada Allah atas kehadiran peserta yang ramai dan program berjalan dengan baik seperti yang dirancangkan.
"Program ini berjaya mencapai objektif seperti yang kita sasarkan dan Insya Allah kita akan meneruskan program seperti dari masa ke semasa".
"Objektif kita untuk mengeratkan silaturrahim dan juga menanamkan akhlaq dan kesedaran Islam di kalangan peserta Insya Allah tercapai" kata beliau yang juga merupakan AJK Nisa' Negeri Melaka.
Sementara itu Pengarah Nisaa' Melaka, Mahani Othman pula berkata Nisa' Melaka akan menyusun program yang lebih sistematik dan terancang bagi tahun 2009 bagi menarik minat lebih ramai remaja untuk menyertai program Nisa'.
Nisa' katanya, berasa bertanggungjawab untuk membebaskan remaja dari kongkongan persekitaran yang penuh dengan budaya hedonisme yang akhirnya menyebabkan remaja perempuan hanyut bersama-sama dengan program maksiat dan sia-sia.
"Walaupun Nisa' sedar kita mempunyai keterbatasan dari segi dana, prasarana, penggerak dan lain-lain, namun ianya tidak menjadi penghalang kepada kita untuk bertanggungjawab mendidik remaja sekadar kemampuan kita".
"Nisa' mesti bergerak semaksima mungkin demi untuk menyelamatkan remaja sekarang" kata beliau dengan bersemangat.
Comments