MULAKAN TAHUN BARU DENGAN KEMENANGAN ISLAM DAN RAKYAT ~ Ref Malaysiakini

Saya mendoakan tahun baru Hijrah 1430 dan Masehi 2009 akan bermula dengan kenangan manis kemenangan perjuangan Islam dan rakyat pada pilihanraya kecil Kuala Terengganu 17 Januari ini.
Tidak ada yang lebih manis dan syahdu bagi sebuah perjuangan selain dari mendapat keredhaan Allah dan mengalahkan golongan zalim dan bongkak yang bermaharajalela meminggirkan hukum Allah dan menindas rakyat sesuka hati.
Kalau Yahudi di Asia Barat menzalimi umat Islam di Palestin, Umno/BN pula menzalimi Islam dan rakyatnya di sendiri dengan pelbagai tekanan dan penindasan. Walaupun rakyat dilihat hidup aman damai senang lenang di mata orang luar hakikatnya adalah tidak sedemikian. Rakyat dikongkong dan dihina oleh undang-undang drakonian ISA, AUKU, OSA dan lain-lain.
Rakyat berada dalam ketakutan dek kerana indeks jenayah yang meningkat saban hari samada rompakan, pembunuhan, perogolan dan sebagainya.
Ibubapa bimbang untuk melepaskan anak remaja mereka keluar dari rumah lantaran persekitaran yang tidak menjanjikan suasana kondusif untuk remaja. Maksiat berlaku berleluasa, gejala dadah tidak pernah susut, khalwat berlaku saban hari malah jam, pergaulan bebas digalakkan, program hiburan melampau-lampau dan seribu satu macam ancaman kepada anak remaja.
Rakyat terus tertekan dan tertindas dengan harga barangan yang melambung tinggi tidak masuk akal. Dalam masa yang sama semakin ramai rakyat yang akan kehilangan pekerjaan akibat krisis ekonomi yang melanda negara dan global. Harga dua komiditi utama iaitu getah dan kelapa sawit terus merudum menjadi mimpi ngeri kepada pekebun dan peladang.
Harga minyak sudah mencecah paras terendah juga tidak memberikan berita gembira kepada rakyat. Kerajaan terus menagih subsidi dari rakyat dengan mengenakan harga minyak lebih tinggi dari harga sepatutnya iaitu di bawah RM1.50 seliter sedangkan harga yang dikenakan ialah RM1.80 seliter untuk minyak petrol. Ini bermakna kerajaan 'merompak' duit rakyat lebih dari 30 sen seliter.
Kerajaan BN pusat terus menekan kerajaan negeri yang dipilih oleh rakyat. Peruntukan dan peluang pelaburan disekat, program-program pusat dihentikan, peruntukan kepada wakil rakyat dinafikan dan macam-macam lagi.
Paling malang kerajaan BN yang dipimpin oleh orang yang bernama Islam terus meminggirkan Islam dan undang-undang Islam. Islam dikurung di dalam pejabat agama. Islam bukannya memerintah tetapi diperintah menurut kemahuan pemimpin.
Bahasa Melayu yang sepatutnya menjadi teras komunikasi dan pendidikan di Malaysia terus dihina dan dipijak-pijak. Ianya terus menjadi bahasa kedua ditanahair sendiri lantaran kemaruk kerajaan BN yang kononnya ingin maju tetapi dalam masa yang sama menguburkan bahasa ibunda sendiri.
Hasrat kerajaan Kelantan untuk melaksanakan hudud terus dihalang oleh kerajaan Islam Hadhari kerana kebongkakan mereka tidak mahu meminda perlembagaan persekutuan yang membolehkan enakmen negeri digunapakai di peringkat negeri. Kerajaan pusat sebenarnya bukan menentang undang-undang hudud tetapi menentang dan menghina Islam itu sendiri.
Jadi saya mendoakan tahun 1430 H dan 2009 M ini akan memberikan sinar kebahagian dan kemanisan kepada perjuangan Islam. Ini tidak mustahil untuk dicapai oleh kita semua dengan komitmen dan kesungguhan perjuangan yang ditunjukkan oleh pejuang Islam dan pejuang rakyat di Malaysia ini.
Mari sama-sama kita bergabung untuk mengajar kerajaan BN pada pilihanraya kecil Kuala Terengganu sebagai isyarat awal supaya mereka insaf dan menjadi sebuah kerajaan yang mendaulatkan Islam dan menjaga kebajikan rakyat.

Comments