Medan Selera Bukit Beruang yang dilancarkan oleh Ketua Menteri Melaka pada 28 Disember lalu tidak mendapat sambutan dari peniaga apabila hanya 2 gerai dari 8 gerai disediakan mula beroperasi. 6 gerai lagi kosong tiada peniaga.
Projek pembinaan medan selera ini telah dimulakan pada 27 Februari 2007 dan mengandungi lapan unit gerai perniagaan terletak di atas Lot 1830, Bukit Beruang. Ianya dibina di bawah peruntukan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) mengikut pelan pembangunan setara.
Projek ini telah disiapkan sepenuhnya pada 30 Jun 2008 dengan kos pembinaan sebanyak RM418,400 tidak termasuk kos tambakan tanah.
Pada peringkat awal, pembinaannya pada Mac 2007, projek ini melibatkan pemindahan 13 kubur lama yang berusia lebih 60 tahun. Pemindahan itu mendapat kelulusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka, di mana 13 kubur tersebut telah dipindahkan ke Tanah Perkuburan Jelutong, Sungai Putat dan dipantau Setiausaha MAIM.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dalam ucapan perasmian Medan Selera tersebut, ternyata kesal apabila mendapati banyak gerai kosong di Medan Selera Bukit Beruang semasa majlis pelancarannya tempohari.
Menurut beliau, perkara tersebut tidak seharusnya berlaku sekiranya pegawai yang berkenaan segera meluluskan geran pelancaran gerai tersebut
Kegagalan pihak yang menguruskan gerai ini untuk mendapatkan peniaga menjadikan projek ini seolah-olah menjadi Gajah Putih. Adalah diharapkan pihak terbabit segera mengatasi masalah ini.
Gambar diatas sekadar hiasan tiada kaitan dengan artikel ini.
Comments