KERAJAAN PR PERLU BERSEDIA HADAPI PEMBUANGAN PEKERJA ~ Ref Malaysiakini

Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) perlu mempersiapkan diri untuk menghadapi masalah pemberhentian pekerja tahun depan. Saya menjangkakan negeri-negeri seperti Pulau Pinang, Selangor dan Perak akan menghadapi masalah itu dengan ketara kerana di sana terdapat begitu banyak kilang industri perkilangan.
Fenomena ini juga pernah saya lalui pada tahun 1997 di mana ketika itu ramai kawan-kawan dipaksa rela mengambil Skim Pemberhentian Secara Sukarela (VSS) oleh majikan mereka.
Trend pemberhentian pekerja diramal serius tahun depan dengan seramai 4,749 pekerja akan diberhentikan oleh 102 majikan dalam tempoh tiga bulan pertama setelah mengambil kira kelembapan ekonomi dunia.

Jumlah pemberhentian pekerja itu adalah angka rasmi yang dilaporkan oleh majikan, kebanyakannya dalam industri elektronik kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) setakat ini.

Sementara Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) pula menganggarkan 200,000 hingga 400,000 pekerja akan hilang pekerjaan tahun depan ekoran keadaan ekonomi yang diramal pada suku tahun pertama dan kedua 2009.
Oleh itu kerajaan PR mesti menyediakan perancangan rapi bagi mengatasi masalah pengangguran pekerja yang dibuang kerja dan kerja para siswazah dan lepasan sekolah yang juga tidak mendapat pekerjaaan.
Saya mencadangkan beberapa langkah dijalankan oleh kerajaan PR, antaranya :-
1) Menyediakan skim bantuan atau pinjaman untuk mereka yang terlibat bagi memulakan perniagaan samada besar atau kecil
2) Skim Khidmat Latihan kemahiran untuk bidang-bidang yang membolehkan mereka membuka perniagaan seperti workshop, kedai dobi, firma latihan dan perunding, kelas tuisyen dan sebagainya.
3) Skim kemahiran yang membolehkan mereka mempunyai kemahiran dalam pelbagai bidang untuk memungkinkan mereka diterima bekerja di bidang lain seperti pelancongan, perhotelan dan sebagainya.
Selain itu kerajaan PR mesti memastikan semua pekerja ini tidak ditindas dan dianaktirikan dengan dibuang kerja tanpa apa-apa pampasan atau insentif.
Isu ini amat penting untuk ditangani bagi memastikan rakyat yang susah dan mungkin teraniaya akibat dibuang kerja dibela oleh kerajaan PR.

Comments

Anonymous said…
fokus kat melaka akhi sofi..ana n the geng dah hampir 2 bulan menganggur coz kompeni berpindah ke johor