KAMI DIANAK TIRIKAN : BEKAS PEKERJA JABATAN TELEKOM ~ Ref Malaysiakini

Bekas pekerja Jabatan Telekom Malaysia mendakwa dianaktirikan akibat dari dasar pengswastaan kerajaan BN yang tidak mengambil berat terhadap kebajikan mereka.

Jabatan Telekom Malaysia telah diswastakan menjadi Syarikat Telekom Malaysia Berhad (STMB) tahun 1987.

Timbalan Presiden Persatuan Bekas Pekerja Jabatan Telekom Malaysia Cawangan Melaka, Hj Yassim Musa (gambar), 57 berkata ahli-ahli persatuannya tidak mendapat nikmat sebagaimana pesara kerajaan yang lain, sedangkan mereka juga pernah berkhidmat kepada kerajaan sebagai kakitangan awam.

"Apa salah kami sehingga kami tidak mendapat insentif dan pencen sebagaimana pesara kerajaan yang lain, sedangkan kami juga pernah berkhidmat sebagai kakitangan awam, kami menjadi mangsa dasar pengswastaan kerajaan "

"Cuma mungkin perkhidmatan kami tidak lama kerana kami diserapkan menjadi kakitangan Telekom Malaysia selepas Jabatan Telekom diswastakan". katanya.

Menurut Haji Yassim, rata-rata bekas pekerja Jabatan Telekom Malaysia hanya mendapat pencen di antara RM50-RM650 sebulan berbeza dengan pesara kerajaan lain yang menikmati pencen minima iaitu berjumlah RM720.

Beliau mencadangkan kepada pihak berkenaan supaya meneliti dan mengkaji masalah mereka kerana terbukti mereka juga adalah bekas kakitangan kerajaan yang sepatutnya mendapat hak yang sama sebagaimana pesara kerajaan yang lain.

"Pencen RM60-RM700 yang kami dapat ini adalah dibawah paras garis kemiskinan, macamana kami nak makan dan meneruskan kehidupan dengan pencen sebanyak itu".

"Saya merayu agar pihak berkenaan mempertimbangkan permintaan kami supaya kami juga diberi kadar pencen minima dan kemudahan sebagaimana pesara kerajaan yang lain" tambah Haji Yassim.

Comments