GUNA SEBAHAGIAN WANG YANG DITERIMA DARI PAAB UNTUK TINGKATKAN SYIAR ISLAM ~ Ref Malaysiakini

Saya mengesyorkan kepada kerajaan negeri Melaka supaya menggunakan sebahagian dari wang perolehan sebanyak RM119 juta yang diterima dari Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) untuk meningkatkan syiar Islam di negeri ini. Wang tersebut diperolehi dari PAAB berikutan penstrukturan semula bekalan air.
Semalam Mohd Ali berkata wang tersebut akan digunakan untuk projek pembangunan dan lain-lain. Tidak ada disebutkan tentang mempertingkatkan syiar Islam walaupun sekarang ini Melaka dilanda 'wabak' maksiat dan gejala sosial yang dahsyat.
Beliau membuat kenyataan tersebut pada sidang media selepas menerima 'mokcek' bernilai RM119 juta daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak di Dewan Perdana B, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini petang tadi.
Saya telah beberapa kali membuat posting tentang statistik gejala hamil luar nikah, khalwat, zina, bersekedudukan, pelacuran dan sebagainya yang meningkat saban tahun, jadi tidak perlu untuk saya ulangkan.
Apa yang dikesalkan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan pemimpin Umno negeri ini langsung tidak peka dengan masalah ini.
Pada mereka apa yang penting ialah menjalankan pembangunan fizikal kerana ianya menguntungkan kroni-kroni mereka kerana semakin banyak pembangunan maka banyaklah projek yang mereka dapat. Inilah mentaliti pemimpin kerajaan negeri yang jelas membahayakan masa depan Islam dan umat Islam di negeri ini.
Oleh kerana itulah setiap hari 'wirid' ialah pembangunan, projek dan pelancongan tidak lebih dari itu. Kita menafikan ianya penting kepada rakyat dan negeri ini. Tetapi pembangunan fizikal yang tidak berjalan seiring dengan pembangunan insan dan Islam akan menyebabkan rakyat hanyut dengan arus pembangunan yang akhirnya perkara maksiat dan 'lagha' akan menjadi mainan hidup mereka. Natijahnya kita semua terpaksa berhadapan dengan masalah sosial, gejala maksiat, jenayah dan sebagainya.

Comments