PEMIMPIN PAS SELAR KERAJAAN NEGERI MASIH GAGAL TANGANI ISU BABI, KINI KAITKAN SEMULA DENGAN PERKAUMAN ~ Ref Malaysiakini

Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Imran Abdul Rahman berkata beliau hairan kerana Umno terus mengungkit isu ini sedangkan penternakan babi itu sudah ujud puluhan tahun mengapa sekarang mereka sedar.

"Adakah hidung mereka sebelum ini tidak berbau dan tersumbat. Saya tidak menafikan perlunya kita mempunyai alam sekitar yang bersih dan nyaman tetapi mengapa kerajaan BN Melaka membiarkan penternakan itu dijalankan secara berleluasa tanpa sebarang tindakan sejak puluhan tahun dahulu".

Imran juga mempersoalkan mengapa penternak tersebut tidak diberikan lesen sejak dari dahulu supaya ianya senang dikawal dan diambil tindakan jika tidak mematuhi peraturan.

Selain itu beliau turut mempersoalkan mengapa baru sekarang sibuk berdemonstrasi sedangkan kerajaan negeri Melaka sendiri yang gagal menguruskan proses pengurangan bilangan babi yang diternak di kawasan itu.

Sementara itu Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah, Ustaz Julasopiah Kassim berkata sepatutnya Umno sebagai penganjur kepada demonstrasi itu sedar bahawa kerajaan negeri Melaka sendiri yang dipimpin oleh Umno gagal menjalankan tanggungjawabnya untuk menguruskan isu babi ini dengan bijaksana.

"Sepatutnya mereka berdemonstrasi di depan pejabat kerajaan negeri kerana kerajaan gagal menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik tanpa menzalimi rakyat samada penternak babi dan rakyat yang teraniaya akibat kawasan persekitaran yang tercemar".

"Mengapa pihak penternak tidak mematuhi arahan kerajaan negeri sedangkan sebelum ini diberitakan mereka sudah mematuhi arahan negeri?

Mesti ada sebab mengapa ini berlaku. Bukankah ini melambangkan kelemahan dan kelembapan kerajaan negeri?" kata Ustaz Julasopiah.

Julasopiyah berkata penternak babi bukanlah rakyat yang degil dan keras kepala jika kerajaan sendiri menggunakan kebijaksanaan dan budi bicara yang jelas, tolerance dan mengikut peraturan.

"Saya pasti mereka bersedia untuk bekerjasama andainya mereka diajak berbincang dan jalan penyelesaian yang menguntungkan rakyat dan penternak babi di ambil."

"Saya sendiri sangat menyokong sebarang usaha untuk memulihkan alam sekitar di kawasan tersebut. Siapa yang tidak mahu udara bersih, pantai yang indah, bau yang wangi dan sebagai.

"Menurutnya Penternak babi juga mahukan perkara yang sama, tetapi pada masa yang sama jika mata pencarian mereka dihapuskan maka sudah pasti kerajaan perlu memikirkan alternatif lain untuk membantu mereka. Mungkin mereka dibantu dalam bentuk pampasan, bantuan dan sebagainya untuk memulakan hidup baru.

Beliau berpendapat kerajaan Melaka tidak serius dalam menangani isu ini sehingga membiarkan isu ini berlarutan sehingga puluhan tahun dan diungkit-ungkit dari masa ke semasa.

Bagi Setiausaha Lajnah Penerangan PAS Negeri Melaka Khirul Che Salleh berpendapat ada pihak menangguk di air keruh untuk mengaitkan isu ini dengan isu perkauman.

"Ada pihak menangguk di air keruh untuk menggunakan isu ini bagi menenggelamkan isu lain seperti isu rasuah di dalam Umno, isu perbalahan di dalam Umno. Saya yakin isu ini sebenarnya digunakan oleh Umno untuk menyatupadukan ahli dan pimpinannya yang berpecah sekarang."

Beliau hairan mengapa Umno begitu sibuk berdemonstrasi tentang isu babi, sedangkan 'najis' lain iaitu pelacuran, arak dan judi dibiarkan berleluasa sehingga ada yang memberikan nama jolokan sebagai Melaka Darul Maksiat.

'Janganlah cuba putarbelit fikiran rakyat sedangkan isu sebenarnya Umno cuba menutup isu perbalahan dalaman Umno, rasuah dalam Umno dan maksiat yang berleluasa di Melaka" kata Khirul.

Satu perkembangan yang menarik yang dapat dilihat dari isu ini ialah sikap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang menyokong tindakan ahli-ahli Umno yang mengadakan demonstrasi Ahad lalu.Mohd Ali dalam satu kenyataan kepada media Isnin lalu, menyokong demontrasi berkaitan isu babi sangkut di rumah AJK Umno Masjid Tanah tersebut.
Lebih menarik lagi, beliau menyokong sekiranya penduduk kampung berkenaan hendak mengadakan demontrasi pada setiap minggu.

"Mereka bertindak bagi membantah tindakan kurang ajar individu tertentu yang menyebabkan penduduk tidak senang terhadap perbuatan terkutuk tersebut" kata Mohd Ali.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baru Pusat Zakat Melaka di Bukit Baru baru-baru ini.

Ahli Badan Perhubungan PAS Negeri, Yuhaizad Abdullah hairan dengan pendirian Mohd Ali yang jelas menentang demonstrasi sebelum ini.

"Jelas Ali bersikap 'double standard' dalam isu ini, mengapa beliau menyokong demonstrasi pula, sedang beliau cukup anti demonstrasi menentang ISA, menentang kenaikan harga minyak dan lain-lain".

"Tahniah dan syabas diucapkan kepada Ali Rustam kerana akhirnya bersetuju bahawa demontrasi sebagai satu cara untuk meluahkan rasa tidak puas hati. Berbeza dengan pemimpin Umno lain yang menganggap demontrasi boleh menjejaskan ketenteraman awam dan menjejaskan kedatangan pelancong." Kata Yuhaizad dalam nada sinis dan sindiran.

Menurutnya Yuhaizad lagi penduduk Melaka beruntung kerana mendapat Ketua Menteri yang faham tentang demokrasi dan kebebasan bersuara. Mungkin selepas ini penduduk Melaka akan lebih dialu-alukan dalam siri demontrasi yang bakal diadakan dalam apa juga isu yang melibatkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Beliau mencadangkan kepada Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), BERSIH dan NGO lain yang berminat untuk mengadakan demontrasi supaya mereka menganjurkan demontrasi di Melaka."Insya Allah kita semua dijamin bebas dari gas pemedih mata, semburan air asid dan gangguan si kepala merah(FRU) kerana Ketua Menteri Melaka sendiri menyokong demonstrasi" kata Yuhaizad dengan sinis.

Comments