PASTI TERUS BERKEMBANG WALAUPUN DIBENCI UMNO- AZRIN ~ Ref Malaysiakini

Pengarah Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Pusat, Azrin Abdul Majid berkata PASTI terus berkembang di seluruh negara walaupun kerajaan BN begitu dengki dengan pertumbuhan dan perkembangan PASTI.

PASTI kini menjadi institusi yang diterima oleh masyarakat kerana terbukti murid-murid jauh lebih maju dan hebat dari murid-murid tadika atau pra-sekolah yang lain.

'Kita mendapat maklumat dari sahabat-sahabat dari Selangor, Johor dan Perak bahawa murid-murid cemerlang disekolah-sekolah dalam negeri tersebut adalah 'produk-produk' PASTI".

'Ini membuktikan bahawa kita boleh mentadbir, membimbing dan mentarbiah anak-anak untuk menjadi insan yang bukan sahaja cemerlang dari segi Ilmu Islam dan akhlaq malah dalam subjek akademik juga mereka turut cemerlang' kata Azrin.

Menurutnya setakat ini terdapat kira-kira 61,000 pelajar PASTI seluruh negara dan jumlah ini akan bertambah dari masa ke semasa kerana sejak akhir-akhir ini sambutan terhadap PASTI semakin meningkat dan bertambah.

'Ada PASTI yang terpaksa menolak permintaan ibubapa untuk menghantar anak mereka kerana tidak cukup kelas dan guru'.

'Inilah masalah kita kerana kita tidak mendapat apa-apa bantuan dari kerajaan BN sebelum ini, bukan sahaja bantuan malah ada kerajaan negeri yang menekan dan menyaman PASTI kerana dengki dan hasad melihat perkembangan PASTI' jelas Azrin bersungguh-sungguh.

Azrin menyatakan, kerajaan Negeri Melaka sehingga kini telah menyaman 6 buah PASTI dinegeri ini sejak beberapa tahun lalu di mana beberapa kes masih belum selesai.

Beliau kesal kerana pendidikan Islam dibelakangkan oleh kerajaan BN lantaran kerana sikap mereka yang tidak professional dan kebudak-budakkan.

'Saya memuji sikap kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor dan Perak yang mulai tahun depan akan memberikan bantuan kepada semua sekolah tadika di kedua-dua negeri tersebut'

'Inilah bezanya antara kerajaan PR dengan kerajaan BN khasnya negeri Melaka yang menekan PASTI sebaliknya kerjaaan PR membantu tadika dan PASTI dinegeri tersebut.' kata beliau.

Azrin berkata demikian ketika menyempurnakan perasmian penutup Sukaneka dan Hari Penyampaian Hadiah PASTI Ar-Rahmah, Solok Gaong di sini Sabtu lalu. Turut berucap pada majlis tersebut ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka, Ustaz Kamaruddin Sidek.

Sementara itu pelajar 6 tahun PASTI Ar-Rahmah, Anas Fauzan diisytiharkan sebagai pelajar cemerlang PASTI tersebut bagi tahun 2008. Beliau terpilih berdasarkan kecemerlangan beliau dalam bidang akademik dan ko-kurikulum. Anas mewakili Melaka dalam acara bolasepak di peringkat Kebangsaan serta berjaya menduduki tempat ketiga dalam acara bercerita di peringkat negeri. Beliau juga mendapat tempat pertama dalam peperiksaan akhir tahun PASTI Ar-Rahmah.

Gambar : Azrin bersama-sama Anas Fauzan pada majlis penyampaian hadiah.

Comments

Fauzi said…
Tahniah kepada PASTI! Jauh beza prestasi anak anak PASTI dengan sekolah tadika yang di anjurkan oleh kerajaan...