PAK LAH TAK PERLU BERPURA-PURA ~ Ref Malaysiakini

Presiden Umno, Pak Lah Badawi kononnya cuba bertegas dengan pelobi dan tukang kempen calon-calon Umno yang bertanding. Dalam kenyataan beliau kepada media hari ini Imam Hadhari ini kononnya memberi amaran kepada pelobi dan perayu undi bagi calon bertanding pemilihan parti, yang banyak dikesan berada di hotel di sekitar Kuala Lumpur dan negerinegeri, supaya pulang ke kawasan masing-masing atau menghadapi tindakan disiplin.

Menurutnya laporan yang diterima, ramai mereka ini sedang berada di hotel-hotel di KL (Kuala Lumpur) dan negeri untuk kempen secara langsung dan tidak langsung untuk dorong undi atau jangan mengundi (calon tertentu).

Bagi saya amaran Pak Lah hanyalah omongan kosong dan lakonan sahaja kerana amaran seumpama ini pernah dikeluarkan beliau sewaktu pemilihan lalu tetapi tidak diendahkan oleh pelobi dan tukang kempen ini. Mereka tahu jika Pak Lah dan Umno benar-benar ingin mengambil tindakan sudah tentu hampir semua calon yang bertanding akan dikenakan tindakan. Tetapi akhirnya hanya beberapa orang sahaja yang diambil tindakan antaranya Isa Samad, Zaid Ibrahim dan beberapa orang lain. Pemimpin Umno lain bebas dan terus memegang jawatan yang dimenangi sehingga tamat tempoh.

Pak Lah tidak perlu berlakon untuk memberi amaran kerana boleh dikatakan semua calon terlibat dengan rasuah dan politik wang ini. Ianya diakui sendiri oleh Rais Yatim dalam media baru-baru ini. Malah calon Ketua Pemuda Umno, Khir Toyo juga mengakuinya di TV9.

Pak Lah melarang calon-calon yang bertanding menggunakan jentera kerajaan secara langsung atau tidak langsung untuk berkempen. Ini satu lagi kenyataan yang boleh ditertawakan. Kalau tuan-puan perasan sekarang ini para menteri begitu sibuk menjalankan program di serata negeri samada program rasmi atau tidak rasmi. Program ini sedikit sebanyak memberikan kelebihan kepada calon tertentu kerana dilihat sebagai pemimpin berjiwa rakyat sering bertemu rakyat diseluruh negara.

Sepatutnya Pak Lah tidak perlu mengeluarkan kenyataan bodoh sebegini kerana ianya sudah pasti tidak akan dituruti oleh pemimpin-pemimpin Umno lain yang sering berselindung di sebalik program kerajaan untuk berkempen.

Comments