ISU FATWA : SOKONG KENYATAAN ABIM

Saya menyokong pandangan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) yang memandang berat tindakan pihak-pihak tertentu menganjurkan protes umum atau membuat kritikan terbuka terhadap fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan mengenai pengharaman perlakuan tomboy atau pengkid serta fatwa mengenai Yoga yang sedang dipertimbangkan.

Semalam Presiden Abim, Yusri Mohamad berkata, Majlis Fatwa Kebangssaan merupakan sumber rujuk utama bagi umat Islam di negara ini untuk mencari penyelesaian tentang sebarang kemusykilan mengenai hal-hal agama.

Menurutnya fatwa yang dikeluarkan, akan melalui proses perbincangan yang teliti dan bersandarkan kepada sumber-sumber hukum sahih serta kaedah-kaedah perundangan Islam yang muktabar.

Yusri juga berkataa fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan tidak patut dipertikaikan dengan mudah. Jika pertikian tetap timbul, tambahnya, ia hendaklah disalurkan ke proses perbincangan yang tertutup.

Menurutnya lagi ia sama sekali tidak sesuai menjadi perbahasan di kalangan masyarakat awam, lebih-lebih lagi jika dijadikan bahan untuk menganjurkan protes umum atau demonstrasi. Abim juga khuatir tindakan pihak-pihak tertentu, terutama sekali pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan bukan Islam, melakukan protes terbuka terhadap fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan, akan mencetuskan suasana ketegangan dan perselisihan di kalangan umat Islam khususnya dan masyarakat amnya di negara ini.

Abim, tambah Yusri, berpendapat bahawa pendekatan terbaik untuk menangani sebarang kemusykilan dan pertikaian mengenai fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan adalah dengan disalurkan secara sihat melalui perbincangan ilmiah tertutup yang disertai oleh pihak ataupun individu yang mempunyai kepakaran dalam isu yang dibincangkan.

Pada yang sama, Abim mencadangkan agar Majlis Fatwa Kebangsaan atau pihak berkuasa agama yang berkenaan, mengambil inisiatif lebih agresif untuk menjelaskan kepada masyarakat umum, rasional fatwa pengharaman tomboy atau pengkid, untuk meningkatkan kefahaman masyarakat pelbagai agama di negara ini mengenai isu tersebut.

Dalam posting yang lalu saya juga menegaskan bahawa pihak-pihak bukan Islam maupun orang Islam sendiri yang jahil tentang Islam tidak layak untuk mempertikaikan keputusan Majlis Fatwa. Hanya individu yang mahir dan faham selok belok agama sahaja yang berhak untuk mempertikaikannya.

Namun ini tidak bermakna pintu perbincangan dan muzakarah antara pihak-pihak tertentu dengan majlis fatwa ditutup. Saya mencadangkan untuk masa akan datang pihak-pihak yang tidak berpuashati atau tidak bersetuju dengan fatwa ini boleh mengadakan pertemuan dalam keadaan muhibbah bagi menyelesaikan apa juga kekusutan.

Comments