ISU BABI SANGKUT : UMNO JUGA MESTI DISIASAT - ADLY ~ Ref Malaysiakini

Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Adly Zahari menggesa pihak berkuasa menyiasat isu daging babi yang disangkut di pagar rumah Md Rawi Mahmud, 55 AJK Umno Bahagian Masjid Tanah.

Akhbar kelmarin melaporkan, seorang pesara guru terkejut selepas mendapati bangkai kepala babi tergantung di pintu pagar rumahnya ketika dia hendak menunaikan solat Subuh di surau di kampungnya, di Kampung Ujong Padang, dekat Masjid Tanah.

Md Rawi yang juga Setiausaha Jawatankuasa Pemantauan Pengeluaran Babi menganggap kejadian itu berkemungkinan mempunyai unsur sabotaj atau rasa tidak puas hati pihak tertentu kepadanya.

Menurut Adly, siasatan tersebut mestilah dijalankan dengan telus dan tidak mengaitkan isu tersebut dengan isu perkauman.

"Saya kurang setuju dengan pandangan Ketua Menteri Melaka yang mengaitkan isu itu dengan isu perkauman."

"Sudah tiba masanya babi tidak dijadikan bahan perkauman. Persoalan utama adalah perbuatan itu menunjukkan perasaan tidak puas hati seseorang kepada AJK UMNO terbabit."

"Orang yang tidak berpuas hati itu mungkin Melayu, Cina atau India. Apakah kalau daging lembu disangkut semestinya perbuatan Melayu dan daging babi dikira perbuatan Cina. India pula bagaimana ? "

Beliau menyarankan agar perkara ini harus dilihat dipelbagai sudut, jangan sekadar pada sudut perkauman.

Menurutnya pihak berkuasa sewajarnya menyiasat semua pihak yang disyaki. Jangan hanya tertumpu kepada rakyat sahaja, pemimpin dan ahli UMNO juga seharunya disiasat dan mereka tidak terlepas dari kemungkinan terlibat sama kerana UMNO sama UMNO juga ramai yang bergaduh sesama sendiri terutama musim pemilihan ini.

Adly menggesa pihak berkuasa membawa mereka yang bersalah dimuka pengadilan, tak kira mereka Melayu, Cina atau India.

Adly berkata demikian di dalam blognya adlyzahari.blogspot.com.

Sementara itu Md Rawi telah membuat laporan polis Balai Polis Kuala Sungai Baru dan berharap perkara ini dapat diselesaikan segera.

Setakat ini, polis belum membuat sebarang tangkapan.

Penemuan bangkai babi ini adalah kali kedua selepas seorang pengunjung dari Seremban, Negeri Sembilan menemui bangkai kepala babi di Pantai Padang Kemunting, Pengkalan Balak, pada 17 Oktober lalu.

Comments