DUIT KALAHKAN WIBAWA ~ Ref Malaysiakini

Ideologi Politik Umno sudah jauh berubah dari mula-mula ianya ditubuhkan. Tiada perjuangan mendaulatkan bangsa jauh sekali mendaulatkan agama. Tiada lagi agenda untuk mengangkat bahasa yang ada hanya untuk melaknat bahasa.

Musim pemilihan yang sedang hebat sekarang ini menjadikan pekung Umno semakin terserlah. Kalau dahulu mungkin masih ramai rakyat yang kurang percaya bila kita katakan Umno sebenarnya tidur berlantaikan duit, baring berbantalkan rasuah. Tetapi kini pekung sudahpun berbau, kudis sudah bertukar menjadi pekung yang tidak sembuh-sembuh juga walaupun dibubuh ubat 'Fusicort'** yang diimport.

Jelas ramai meramalkan kali ini wibawa, karisma, akhlaq dan kepintaran seseorang calon akan dikalahkan oleh duit dan habuan yang lain.

Dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden umpamanya Muhyiddin dilihat berwibawa, Ali Rustam dianggap tidak cerdik dan Mat Taib penuh skandal. Namun ramai meramalkan wibawa Muhyiddin akan dikalahkan oleh 'Tidak Cerdik' Ali Rustam dan 'Skandal' Mat Taib kerana Muhyiddin dikatakan bakhil oleh pelobi-pelobi Umno, manakala Ali dan Mat dipuja oleh mereka kerana 'pemurah'.

Sebab itulah saya katakan tadi Muhyiddin bakal tersungkur kali ini sebagaimana beliau dikalahkan oleh Isa Samad dan Ali Rustam pada pemilihan Naib Presiden ketika musim pemilihan sebelum ini. Beliau hanya menduduki tempat ketiga nyaris tidak terpilih sebagai Naib Presiden ketika itu sedangkan beliau dilihat paling layak dan berwibawa berbanding Isa dan Ali.

Jangan terperanjat jika Muhyiddin 'lari' terjun tingkap kerana malu dikalahkan oleh Ali atau Mat nanti. Sebagaimana Ghafar Baba membawa diri dengan beg plastik kerana dimalukan oleh Anwar pada pemilihan Umno sebelum Anwar dipecat Dr Mahathir dulu.

Inilah rupa paras Umno yang ada pada hari ini. Fenomena ini amat membahayakan negara dan rakyat kerana kita dipimpin oleh pemimpin yang tidak berwibawa dan tidak cerdik. Ada cerdik dan berwibawa diketepikan dengan cara kotor. Sebab itulah rasuah sangat merbahaya dan boleh menjahanamkan tamadun manusia.

Saya menyeru ahli-ahli supaya memilih calon-calon pemimpin dengan tidak dipengaruhi oleh wang dan habuan lain. Jangan ingat habuan yang anda perolehi tidak memberi kesan kepada diri anda, masyarakat dan negara. Di tangan andalah terletaknya masa depan negara sebelum kerajaan bakal bertukar pada pilihanraya umum ke 13 nanti. Insya Allah.

Comments

boleh percaya ker tulisan ni?