CADANGAN UNTUK TABUNG HAJI ~ Ref Malaysiakini

Sabtu lalu saya berkesempatan menghantar dua insan tersayang, ayahanda dan bonda untuk menunaikan Fardhu Haji ke Mekah. Seperti biasa bakal haji dikehendaki melaporkan diri ke Kompleks Tabung Haji di Kelana Jaya.

Saya bersama adik beradik dan kedua-dua ayahanda,bonda sampai di Kompleks Tabung Haji pada jam 9.45 pagi. Ayahanda dan bonda dikehendaki melaporkan diri pada jam 11.30 pagi.

Memang tidak dinafikan berbanding dengan 5 tahun lepas banyak penambahbaikan dilaksanakan oleh pihak Kompleks Tabung Haji dalam melicinkan proses pendaftaran dan pemprosesan untuk persiapan bakal haji sebelum menaiki pesawat di KLIA.

Namun dibawah ini saya cadangkan beberapa penambahbaikan untuk melicinkan lagi proses di pendaftaran di Kompleks tersebut.

1) Mengujudkan Kaunter Pertanyaan untuk bakal haji dan keluarga mereka. (Saya tidak pasti samada pusat ini ada atau tidak, cuma saya tidak bertemu dengan pusat ini pada hari tersebut)

2) Carta aliran proses pendaftaran dan pemprosesan dokumen untuk memudahkan bakal haji dan keluarga mereka. Ini kerana kebanyakan bakal haji yang warga emas sudah tentu ramai tidak biasa dengan peraturan dan proses sebegini. Malah ahli keluarga mereka juga terpinga-pinga tidak tahu ke mana untuk pergi dahulu. Terpaksalah bertanya kepada 'kaunter pertanyaan' tidak bertauliah.

Mungkin cadangan saya ini sudah dilaksanakan oleh Kompleks Tabung Haji tetapi kerana saya tidak menemui maka saya cadangkan semula. Andai ianya sudah ada mungkin pihak Tabung Haji wajar menunjukkan peta lokasinya untuk memudahkan kami mengenalpasti lokasi tempat-tempat tersebut.

Kepada kedua-dua ayahanda dan bonda diharap mereka sihat dan dapat menunaikan fardhu haji dengan selamat dan tenang. Ini adalah kali kedua mereka ke sana. Kali pertama pada musim haji 1984 dahulu.

Moga-moga mereka dikurniakan Haji Mabrur dan tidak lupa mendoakan kesejahteraan kami di tanahair.

Comments