5 SOALAN PANAS UNTUK SAYA ~ Ref Malaysiakini

5 soalan PANAS yang diajukan oleh wartawan Harakah Melaka, Zaili Muhammad kepada saya.

Soalan 1 : PAS Melaka gagal dalam pilihanraya lepas di mana satu kerusi pun PAS tak menang. Bukankah ini membuktikan kerja-kerja penerangan telah gagal dan tidak secara langsung saudara juga gagal memainkan peranan sebagai Ketua Penerangan?

Jawapan : Memang salah satu sebab kemenangan dan kekalahan dalam pilihanraya adalah gerakerja penerangan. Saya mengakui Jentera Penerangan kita tidak sehebat dan seaktif negeri-negeri lain semasa pilihanraya yang lalu. Kerja-kerja penerangan bukanlah kerja perseorangan. Walau sehebat mana perancangan dan kertas kerja, jika ianya tidak didokongi oleh jentera yang berkemahiran tinggi dan bersedia bila-bila masa untuk bergerak maka perancangan tersebut akan gagal.

Saya tidak menafikan jentera kita lemah dan 'post mortem' telah pun dibuat termasuk kepada jentera penerangan. Gerakerja awal dari sekarang mesti dilaksanakan. Inilah antara kelemahan yang ketara. Kekurangan tenaga yang komited, berkemahiran dan bersedia bila-bila masa juga antara penyebab kelemahan kita. Lajnah Penerangan mesti mengatasi masalah ini dari awal.

Soalan 2 : Saudara bukanlah anak jati Melaka, tetapi dilihat naik dengan begitu cepat dalam kepimpinan PAS Negeri, mungkin kerana saudara cuba menonjolkan diri dan pandai mencari kesempatan?

Jawapan : Saya tidak pernah meminta jawatan. Saya dilantik untuk jawatan Ketua Penerangan ini separuh jalan menggantikan sahabat lain. Malah saya bersedia bila-bila masa untuk menyerahkan amanah besar ini kepada sahabat lain yang lebih baik. Prinsip saya ialah bekerja untuk jemaah walau dalam keadaan apa sekalipun samada kita ada jawatan ataupun tidak. Prinsip saya ialah kita mesti bertolong menolonglah dalam jalan taqwa, kebaikan dan jangan bertolong menolong dalam jalan kejahatan.

Saya sendiri memang rasa bersalah kerana gagal memimpin jentera penerangan sebaik mungkin pada pilihanraya lepas. Sudah 7 tahun saya tinggal di Melaka dan merasakan ianya sudah agak lama malah untuk mengenali Melaka dan sahabat-sahabat tidak susah kerana hanya ada 6 kawasan sahaja di sini. Saya juga sangat mengharapkan anak jati Melaka dapat memimpin PAS Melaka di semua peringkat. Diharapkan sessi depan akan ada anak Melaka yang akan menggantikan saya untuk memacu gerakerja penerangan yang sangat penting. Saya bersedia untuk membantu bila-bila masa.

Soalan 3: Saudara dilihat sering membuat kenyataan akhbar di media arus perdana. Seolah-olah tidak ada 'muka' lain di Melaka yang boleh membuat kenyataan akhbar. Ramai yang menyatakan saudara mencari 'glamour' supaya dikenali, betulkah begitu?

Jawapan : Saya yakin kita tidak perlu mencari 'glamour' di Melaka ini kerana bukan 'glamour' yang akan kita dapati tetapi tekanan dan tohmahan dari pihak tertentu yang jadi habuan.

Saya rasa bertanggungjawab untuk membawa suara PAS di media arus perdana. Saya sangat mengharapkan sahabat lain dari pelbagai peringkat tampil untuk membuat kenyataan dan membawa suara PAS di mana-mana sahaja. Kebetulan ada sebuah media yang agak tebruka sekarang, maka peluang ini mesti kita ambil. Kalau sebelum ini kita sering merungut bahawa kita dianaktirikan oleh media mengapa sekarang kita berdiam diri pula.

Soalan 4 : Melaka dikatakan negeri yang paling kuat Umno dalam dunia sebab itu satu kerusi pun PAS tak menang di Melaka, berbanding dengan Johor dan Negeri Sembilan yang sudah mendapat 2 dan 1 kerusi DUN masing-masing. Malangnya Melaka masih terkial-kila mencari walaupun satu kerusi. Bila agaknya Melaka akan dapat melahirkan 'anak sulung' yakni wakil rakyat pertama samada di DUN atau Parlimen?

Jawapan : Jawapannya ada dalam diri pemimpin dan ahli-ahli PAS Melaka. Allah tidak akan memakbulkan doa dan hajat kita, tanpa pengorbanan dan gerakerja yang hebat, kemas, sistematik dan bersungguh-sungguh. Kita semua faham konsep tawakkal. Kita mesti berusaha bersungguh-sungguh barulah kita berjaya. Walaupun pahit kita kena akui gerakerja kita di Melaka masih jauh ketinggalan jika hendak kita bandingkan dengan negeri-negeri lain. Ini merupakan satu cabaran dan tanggungjawab hebat yang terpikul di atas bahu saya juga.

Soalan 5 : Tahun hadapan adalah tahun pemilihan, benarkan saudara akan merebut jawatan tertinggi dalam Kawasan saudara?

Jawapan : Jawatan dalam jemaah bukanlah untuk kebanggaan dan kehebatan seperti dalam Umno sehingga berlakunya rasuah politik dan politik wang.Ahli PAS ditarbiah supaya tidak meminta jawatan dan kita juga ditarbiah supaya menerima jawatan jika kita yakin kita mampu dan tidak memudaratkan jemaah.

Seperti yang saya nyatakan tadi, saya tidak pernah meminta jawatan. Namun sebagai seorang ahli jemaaah saya mesti patuh dan taat kepada arahan pimpinan dan jemaah selagi ianya tidak bercanggah dengan Islam. Saya yakin di dalam kawasan saya iaitu Bukit Katil masih ramai lagi sahabat lain yang lebih hebat, berilmu, istiqamah dan berketerampilan. Saya lebih selesa menjadi askar-askar atau budak suruhan. Saya boleh melakukan apa juga arahan pimpinan selagi saya termampu.

Terima Kasih.

Comments

Taiko said…
Bukit Baru ada potensi untuk dirampasa
mas said…
Alhamd...satu lontaran yang dianggap panas oleh saudara Penerangan Negeri Melaka...tapi ia hanyalah sekadar satu cabaran yang bagi orang yang berjiwa kental.."TAK MAKAN DIPUJI,TAK REBAH DIKEJI"...Ikhlaskan diri..IALLAH bantuan ALLAH akan datang dari pelbagai arah tanpa disedari.
Kembalilah kepada seerah nabi...Siapakah Salman Al-Farisi..dari mana?..Dari PARSI memberi usul untuk menggali parit diwaktu perang uhud..peperangan khandak...cadangan nya diterima .Dengan bacaan Basmalah oleh Rasulullah , Lalu ketika memecahkan batu buat kali ketiga.. Rasulullah melihat satu sinar terpancar lalu berkata ..istana-istana dan mahligai-mahligai diSyria mahu pun dishan'a, begitu juga daerah 2 lain yang satu ketika nanti akan berada dibawah naungan bendera ALLAH yang berkibar...

Dan siapakah Bilal bin Rabah...dari mana?..budak belian dari HABSYI..tapi siapakah yang tidak mengenali Bilal bin Rabah..Dari kerendahan kasta, hitam warna kulit..tapi sekali-kali tidaklah menutup pintu baginya untuk menempati kedudukan tinggi dalam Islam..Muaddzin ISLAM dan pengoncang berhala Quraish.
Dan ramai lagi..Bacalah seerah.
Tidak timbul dari mana kita datang..standard apa kita ada..Apabila keikhlasan berada dihati serta berjiwa besar maka ALLAH akan mempermudahkan segala urusan demi menegakkan syiar ISLAM..Rebutlah peluang sebanyak mungkin selagi kita tahu bahawa kita adlah diatas jalan kebenaran. Rasulullah merupakan orang yang paling banyak menerima ujian namun pengantungan terhadap ALLAH , akhirnya Alhamdulillah Islam tetap bersinar hinnga kehari ini..INSYAALLAH..