USUL UNDI TIDAK PERCAYA DI PARLIMEN ISNIN INI? Ref Malaysiakini

Mungkinkah usul undi tidak percaya akan dibawa oleh PR pada persidangan parlimen Isnin ini? Memang ramai mengjangkakan bahawa PR akan membawa usul tersebut pada persidangan parlimen kali ini. Namun adakah usul tersebut mampu menumbangkan kerajaan BN masih tidak dapat dipastikan.

Malah seperti yang diketahui umum, Speaker Parlimen, Pandikar Amin Mulia mempunyai kuasa mutlak untuk menerima atau menolak sesuatu usul. Namun saya kurang pasti bagaimana ianya akan dibawa.

Saya yakin pimpinan PR sudah merancang yang terbaik bagi merealisasikan hasrat rakyat untuk mendapat kerajaan baru.

Bagi saya mudah sahaja. Jika sekiranya Speaker menolak usul tersebut berdasarkan pentafsiran undang-undang dan peraturan parlimen yang dibuatnya, ahli-ahli PR masih mempunyai cara dan jalan untuk menumbangkan kerajaan.

Saya cadangkan ahli-ahli parlimen BN yang mahu berhijrah kepada PR berdiri dan berjalan menyeberang ke arah tempat duduk ahli-ahli parlimen PR dan menyatakan sokongan padu kepada PR. Ini sebagai isyarat bahawa Perdana Menteri dan BN sudah tidak mempunyai penyokong lagi.

Jika ini dilakukan saya yakin kalau Pak Lah dan pemimpin BN adalah pemimpin yang bermaruah sudah pasti mereka akan akur dengan situasi ini dimana mereka sudah tidak mempunyai majoriti kerusi lagi. Speaker juga sepatutnya tidak berhak untuk menolak usul ini untuk dibahaskan dan dibuat pengundian.

Sementara itu pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat mengadakan mesyuarat di ibu negara malam tadi, dipercayai untuk membincangkan opsyen-opsyen baru bagi merealisasikan usaha membentuk kerajaan baru persekutuan.

Mesyuarat itu, yang diadakan kurang seminggu sebelum Dewan Rakyat bersidang, berlangsung di kediaman Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pertemuan itu dihadiri oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung PAS, Kamaruddin Jaafar.

Menurut laporan mStar Online , Anwar telah mengadakan pertemuan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam, dipercayai mengenai isu yang sama.

Pakatan Rakyat yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS telah meletakkan sasaran 16 September lalu untuk mengambil alih kerajaan pusat dengan membawa masuk ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).

Sebelum ini Anwar mendakwa mempunyai bilangan wakil rakyat BN yang mencukupi untuk tujuan tersebut tetapi tidak membentuk kerajaan pada tarikh tersebut.

Pada 16 September lalu, Anwar berkata, pemimpin Pakatan Rakyat mahu menemui Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan membincangkan peralihan kerajaan secara aman dan lancar.

Permintaan itu telah ditolak. Malah permintaan Pakatan Rakyat supaya sidang khas Parlimen pada 23 September juga ditolak Abdullah.

Semalam, Anwar ketika ditemui di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berkata, beliau akan menemui pemimpin-pemimpin malam ini bagi membincangkan beberapa strategi baru termasuk membawa usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat.

Pada Isnin ini Anwar selaku Ketua Pembangkang akan membahaskan Bajet 2009.

Dalam pada itu, Dewan Rakyat belum menerima sebarang usul undi tidak percaya, yang luas diperkatakan ketika sesi sidang Parlimen lalu.

mStar Online difahamkan, sehingga semalam Parlimen tidak menerima sebarang usul daripada mana-mana pihak termasuk pembangkang.

Bagaimanapun katanya jika pihak pembangkang ingin membawa usul undi tidak percaya seperti mana yang dihebohkan, mereka boleh berbuat demikian sehari sebelum Parlimen bersidang.

Comments