SELESAIKAN DULU MASALAH DALAM NEGERI SEBELUM FIKIR TANDING TIMBALAN PRESIDEN ~ Ref Malaysiakini

Saya seorang penduduk dan anak jati negeri Melaka yang dilahir dan dibesarkan di negeri ini.

Saya tidak terkejut dengan keputusan Ketua Menteri, Ali Rustam yang mahu bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan Umno Mac 2009 nanti.

Namun bagi saya sebelum beliau bertanding dan layak untuk bertanding elok kiranya beliau selesaikan masalah dalaman negeri Melaka, jangan sibuk memikirkan nafsu sendiri untuk mengejar pangkat besar dan puncak kuasa.

Bagi saya elok Ali Rustam ukur baju di badan sendiri. Jangan termakan dengan kaki-kaki bodek seperti Othman Mohamad (Speaker), Idris Haron dan lain-lain.

Saya ingin Ali Rustam supaya selesaikan dulu isu di bawah ini:-

1) Isu banjir yang tak pernah selesai sejak puluhan tahun contohnya di Kg Tun Razak, Durian Daun dll.

2) Hutang negeri mencecah RM1.1 bilion

3) Gejala maksiat, zina, pelacuran, hamil luar nikah meningkat saban tahun.

4) Pembaziran duit rakyat seperti Eye On Melaka, Menara dan lain-lain

5) Masih ramai golongan miskin walaupun beliau seringkali mendakwa bilangan orang miskin di Melaka amat sedikit

6) Saman fitnah terhadapnya RM10 juta yang akan dibicarakan pada 6 dan 7 Oktober ini

7) Isu saman kepada PASTI

8) Amalkan tindakan yang tidak demokratik menafikan peruntukan untuk ADUN Pakatan Rakyat Melaka

9) Perlantikan kroni Datuk Seri menjadi Datuk Bandar, Speaker dan lain-lain bukannya atas dasar kelayakan ...

10) Isu bijih di Kuala Sungai Baru menyebabkan nelayan di sana susah untuk cari makan

11) Pembayaran kontrak terhadap subkontraktor di bawah kroni orang atasan tertentu

12) Isu Telco Tower dekat perumahan di Bandar Melaka

13) Isu kezaliman Penguatkuasa MBMB terhadap peniaga di Melaka Raya

14) Menggunakan duit rakyat untuk membina bangunan Mega berhampiran MITC yang melibatkan 3 daerah.

15) Meneruskan projek yang akhirnya menjadi GAJAH PUTIH seperti di Pulau Melaka dan lain-lain.

Jadi sekali lagi saya harap Ali Rustam memikirkan semula hasrat untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno kerana sebenarnya beliau telah gagal memerintah negeri Melaka dengan baik sehingga begitu banyak masalah yang berlaku dinegeri ini. Kalau negeri sekecil Melaka inipun beliau tidak dapat memerintah dengan baik jangan harap beliau boleh mentadbir dengan baik andaikata dipilih sebagai Timbalan Presiden Umno dan mungkin juga Timbalan Perdana Menteri suatu hari nanti.

Malah saya yakin ahli-ahli Umno akan memilih calon lain yang lebih hebat dan berkarisma dari Ali Rustam untuk jawatan tersebut. Muhyiddin dan Zahid Hamidi sebenarnya jauh lebih berkarisma dan berilmu serta berpandangan jauh jika dibandingkan dengan Ali Rustam. Bukan saya hendak merendahkan imej dan maruahnya tetapi itulah hakikat yang sebenarnya. Saya bimbang nanti Ali Rustam tewas dan terus dilupakan oleh ahli-ahli Umno. Yang malu orang Melaka macam saya juga sebab Ketua Menteri Melaka tewas dalam pemilihan Umno.

Nukilan : Anak Jantan Bukit Katil

Comments