PAS PERKEMASKAN SOKONGAN KEPADA PEMBENTUKAN KERAJAAN BARU ~ Ref Malaysiakini

Laporan Siasahdaily hari ini melegakan banyak pihak yang merasakan akan ujud satu suasana muram dan tidak ketentuan di dalam PAS akibat ketidaksepakatan pimpinan PAS dalam isu-isu semasa terutama isu pembentukan kerajaan baru.

Walaupun pelbagai pihak beranggapan begitu bagi saya ia sebenarnya hanyalah telahan dan ramalan pihak tertentu sahaja. Saya yakin pemimpin PAS yang ada pada hari ini adalah pemimpin yang matang dan telah teruji. Sebab itu bagi saya perbezaan pendapat di dalam PAS tidak menjadi masalah dan tidak mengakibatkan parti punah ranah atau terpecah dua. Mekanisme yang di dalam PAS Insya Allah akan mengawal dan menyelia semua permasalahan yang berlaku. Kita ada Majlis Syura Ulama yang sudah tentu bersedia bila-bila masa untuk mendengar dan menasihati apa juga masalah yang timbul.

Sikap pemimpin yang terbuka, bersedia mendengar pandangan ahli cukup dihormati dan menjadi penyebab kekuatan PAS selama ini. Walaupun mungkin berlaku kesilapan di peringkat tertinggi dalam isu muzakarah umpamanya tetapi ianya dapat dimaafkan oleh ahli akar umbi apabila pemimpin membuat penjelasan terbuka pada muktamar lalu. Begitu juga dalam isu pembentukan kerajaan baru, ramai beranggapan kebanyakan mesyuarat dan perbincangan hanya melibatkan pimpinan bawahan namun mereka saya yakin mendapat mandat dari pimpinan atasan untuk mewakili PAS.

Kebimbangan yang timbul mungkin disebabkan ada ahli dan penyokong yang merasakan pimpinan tertinggi tidak berminat dengan pembentukan kerajaan baru ini kerana seringkali pada sidang media PR hanya dihadiri oleh Setiausaha Agung, Datuk Kamariuddin Jaafar dan Bendahari, Dr Hatta sahaja.

Namun saya yakin ianya tidak menjadi kesalahan tetapi mungkin pemerhati melihat pimpinan tertinggi tidak begitu menyokong pembentukannya. Bagi saya tidak timbul isu tidak menyokong pembentukan kerajaan baru ini kerana keputusan pada muktamar PAS lalu yang menegaskan bahawa PAS akan sentiasa komited kepada apa juga keputusan PR yang dibuat bersama.

Alhamdulillah akhirnya kebimbangan para pemerhati dan para ahli serta penyokong PAS telah terungkai semalam apabila para pimpinan PAS sepakat dalam menghadapi perkembangan semasa.

Ia dibayangkan melalui keputusan mesyuarat Lajnah Politik PAS Isnin, 6 Oktober lepas yang menyatukan hampir kesemua pandangan saf kepimpinan utama PAS.

Mesyuarat itu seperti dilaporkan Siasahdaily, memutuskan PAS akan bekerjasama sepenuhnya dengan parti-parti dalam Pakatan Rakyat untuk berusaha sepenuhnya bagi membentuk kerajaan baru bagi menggantikan kerajaan BN yang ada.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden PAS itu memutuskan, PAS akan telibat sepenuhnya dengan usaha itu dan akan menghantar pemimpin paling kanan untuk semua mesyuarat dengan pemimpin Pakatan.

Kalau sebelum ini, mesyuarat Pakatan banyak diwakilkan kepada pemimpin junior dalam PAS, mesyuarat itu memutuskan semua mesyuarat selepas ini akan disertai oleh pemimpin paling senior dalam PAS.

Lima pemimpin yang terpilih adalah Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, timbalanya, Nasharudin Mat Isa, naib-naib presiden, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu di samping Setiausaha Agung Datuk Kamarudin Jaffar.

Saya yakin keputusan ini akan memantapkan gerakerja PR untuk membentuk kerajaan baru dalam masa terdekat. Tidak timbul lagi perselisihan pendapat dan idea di kalangan pemimpin PAS. Usaha musuh politik PAS dan media pembodek mereka iaitu media arus perdana sekali lagi gagal memporak perandakan PAS dan PR.

Syabas pimpinan PAS.

Comments