PAS MELAKA PUNYAI TUGAS MENGGUNUNG ~ Ref Malaysiakini

Saya sangat setuju dengan pandangan dan nasihat yang diberikan oleh Professor Hamirdin Ithnin tentang tanggungjawab PAS Melaka. Saya yakin Prof memang mempunyai niat yang sangat baik untuk melihat PAS berkembang maju di negeri tumpah darahnya. Melaka memang jauh ketinggalan dari jirannya iaitu Johor dan Negeri Sembilan dari segi kejayaan PAS dalam memenangi hati rakyatnya.

Johor sudah dua penggal mempunyai Ahli DEwan Undangan Negeri iaitu tahun 2004 dan 2008. Malah pada penggal ini Johor mempunyai bukan seorang ADUN malah dua ADUN sekaligus. Negeri Sembilan juga tidak ketinggalan berjaya menghantar seorang ADUN muda yang bertenaga di DUN Paroi iaitu Sahabat Saya YB Mohd Taufek Yahaya.

PAS Melaka masih terkapai-kapai mencari dahan untuk berpaut. Secara peribadi saya mencadangkan PAS Melaka supaya menggarap tenaga dan idea Prof untuk bersama-sama berjuang di Melaka. Bukan senang untuk mencari orang Melaka yang berani seperti Prof berjuang bersama PAS walaupun masih berkhidmat untuk kerajaan.

Saya muatkan pandangan Professor Hamirdin di bawah untuk renungan rakyat dan penyokong serta pimpinan PAS Melaka.

PAS MELAKA PUNYAI TUGAS MENGGUNUNG

Melaka adalah satu satunya negeri yang masih lagi belum dapat ditembusi oleh PAS. Selama ini ramai orang menjangkakan negeri Johor sebagai benteng UMNO yang sukar ditembusi oleh PAS, tetapi dengan pimpinan dua pesuruh jaya berwibawa, Dr. Daeng Sanusi Mariok dan Prof. Dr. Datuk Mahfodz, negeri tersebut telah berjaya diterobos oleh PAS.

Apakah yang menyebabkan orang Melaka sukar memberi kemenangan kepada PAS sukar diketahui, tetapi segala kemungkinan boleh dicuba untuk diatasi oleh PAS Melaka. Saya rasa mutu gerakerja yang diamalkan oleh PAS Melaka masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan PAS di negeri negeri lain. Saya amati kepantasan dan ketangkasan bertindak masih lagi belum kelihatan di kalangan mereka yang berjuang di Melaka. Ditambah lagi dengan mentaliti ketempurungan sebahagian pengundi menyebabkan keadaan nampaknya belum lagi mengisyaratkan sebarang perubahan.

Walau pun beberapa kedangkalan mental dipamirkan oleh pimpinan Melaka sekarang, seperti mendewa shahperikan Shah Rukh Khan, namun negeri itu sendiri sekarang berada pada kedudukan yang kukuh dari segi persepsi orang luar. Ini diperkuatkan dengan anugerah Melaka and George Town Historic Cities of the Straits of Melaka oleh UNESCO. Ini adalah satu anugerah yang sangat berprestij dan boleh melambungkan kedudukan Melaka semakin tinggi pada kebanyakan perkiraan. Bermakna, anugerah ini boleh dijadikan modal kempen pilihan raya oleh BN, dan sudah tentulah ia akan menyukarkan lagi parti lawan untuk membidas modal tersebut. Parti lawan yang akan tercungap-cungap untuk melawan modal yang sedemikian ialah PAS.

Saya masih ingat bagaimana bekas ustaz saya bertanding dalam pilihan raya 1995 di DUN Duyong, melawan Gan Boon Leong, berakhir dengan ustaz tersebut hilang wang deposit. Walau pun pengundi di DUN tersebut majoritinya Melayu dan Islam, namun apabila membuat pertimbangan politik, ahli bina badan mengatasi seorang ustaz. Percayalah, ketempurungan mental ini masih kekal hingga hari ini di kalangan pengundi Melaka.

Kalau Pulau Pinang telah jatuh ke tangan DAP, dan bersama itu jatuh bersamanya George Town Historic City, maka status baru George Town itu akan jadi modal kempen kepada DAP. Tetapi di Melaka, parti lawan pula terpaksa mencari jalan untuk menggoyahkan modal berkempen ini, yang pada ketika ini kelihatan sukar.

Percayalah PAS Melaka, anda boleh membuat kejutan di negeri Hang Tuah sekiranya anda lakukan pelbagai perubahan, kemajuan dan merancakkan lagi pengaturcaraan gerakerja. Sekarang inilah masanya untuk melakukan semua itu.

Sekarang ini masanya anda tukar ke gear lebih tinggi. Hang Tuah telah tiada. Tapi tuah boleh menyebelahi anda.

Comments

armouris said…
saya cadangkan PAS Melaka banyak tumpukan pada kerja-kerja kebajikan untuk lembutkan hati orang Melaka yang tak sokong PAS...dengan kata lain memasyarakatkan PAS Melaka...

set-up satu blog, war-warkan masalah rakyat, cari orang susah, miskin, anak yatim, musibah, then set-up satu tabung, so orang ramai boleh menderma....

pemimpin melaka kena banyak turun padang melawat rakyat, cek apa masalah yang boleh dibantu...

-----------------------
info-jariah.blogspot.com
info-kesihatan-anda.blogspot.com
our-health-info.blogspot.com
Z said…
Salam..
PAS melaka perlu banyakkan aktiviti masyarakat, bukan sekadar ceramah umum.
Kalu setiap cawangan yang ada buat aktiviti masing masing. Insyallah kewujudan PAS di melaka ni lebih di rasai.
Keahlian juga dpt ditingkatkan dgn adanya program yg di jalankan.
Bila ramai ahli, confirm dpt undi, skrg ni cuma undi simpati je rasanya.
Sekadar pendapat. TQ