NAJIB DITOLAK SEBAHAGIAN BESAR RAKYAT ~ Ref Malaysiakini

Walaupun para tetamu di Blog ini mungkin sudah membaca usul yang dibawah oleh 'YB" Nuraflah dalam Blognya (nuraflah.blogspot.com) tentang USUL MENOLAK NAJIB SEBAGAI PENGGANTI ABDULLAH, saya ingin membuat sedikit ulasan tentang usul dan cadangan beliau itu.

Seperti yang dinyatakan oleh Kadir Jasin dan ramai blogger baru-baru ini ketika memberikan nasihat kepada Najib bahawa beliau mesti membersihkan dirinya yang dilihat tidak bersih supaya rakyat tidak terus sangsi dan syak wasangka kepada beliau.

Ramai beranggapan bahawa pengganti Dollah ini akan mentadbir Malaysia dengan lebih teruk disebabkan 'track record' dan perangainya yang pernah melukakan hati rakyat walaupun tidak pernah dibuktikan di mahkamah.

Maka usul yang dibawa oleh 'YB' Nuraflah dengan mengambilkira pandangan 'rakyat'nya serta blogger-blogger sahabatnya, saya sokong 200 %. Apa yang belia kata itu pada pandangan saya tidak ada tidak benar melainkan benar-sebenarnya belaka semua.

Saya yakin rakyat dan sahabat-sahabat kita yang tidak pernah 'merantau' ke alam internet dan blog pun setuju dan teramat setuju dengan usul 'YB' Nuraflah ini. Pendekata kalau ianya dibawa dalam 'mesyuarat agung' para blogger sudah tentu ia diterima sebulat suara. Tetapi kalau dibawa ke dalam mesyuarat agung Umno mungkin kita akan di'boo' umpama pembawa usul pencalonan Ku Li di'boo' di Pontian.

Usul 'YB' Nuraflah mungkin berbunyi begini :-

Menyedari akan peri pentingnya seseorang pemimpin mempunyai rekod bersih, akhlaq baik, bertaqwa, ikhlas dan bertanggungjawab

Menyedari akan peri pentingnya keputusan rakyat yang menolak BN pada PRU ke 12 lalu,

Menyedari akan peri pentingnya keputusan Survey Merdeka Centre yang Najib ditolak oleh sebahagian besar rakyat dan mereka lebih suka kepada Anwar

Menyedari akan perin pentingnya keputusan negara lain yang mula mengambil Islam sebagai jalan penyelesaian dalam masalah negara

Maka, saya 'YB' Nuraflah dengan ini membentangkan usul MENOLAK DATUK SERI MOHD NAJIB SEBAGAI PENGGANTI DATUK SERI ABDULLAH AHMAD BADAWI SEBAGAI.

Ini adalah kerana alasan-alasan di bawah :-

1) Banyak skandal yang telah dikaitkan dengan Najib. Tidak perlulah disenaraikan skandal-skandal tersebut kerana rata-rata blogger dan rakyat Malaysia sudahpun mengetahuinya. Memang benar Najib tidak pernah didakwa di mana-mana mahkamah tetapi itu tidak berjaya menghilangkan kesangsian rakyat terhadap Najib kerana rakyat juga sedang meragui tahap ketelusan dan kejujuran badan-badan penguatkuasa di negara ini.

2) Pada PRU ke 12, rakyat mengundi pembangkang kerana benci dengan BN dan bukannya disebabkan rakyat suka sangat dengan pembangkang. Kerajaan BN dilihat terlalu mementingkan diri mereka sendiri daripada mengutamakan kebajikan rakyat. Rakyat mahukan kepimpinan yang benar-benar bersih dari segala unsur rasuah, ketidakadilan serta kronisme.

Keputusan Abdullah melantik Najib tidak patut diteruskan kerana selepas ini, Najib akan menghabiskan lebih banyak masa melayani tuduhan yang dilemparkan ke atas dirinya daripada melayani kehendak rakyat.

3) Pola undian mengikut kaum pada PRU ke 12 dahulu jelas menunjukkan BN hanya mendapat sokongan dari kaum Melayu dan Bumiputra sahaja. Manakala kaum Cina dan India lebih memihak pada parti pembangkang.

Biarpun mereka meragui tahap kesefahaman parti-parti yang bernaung dalam Pakatan Rakyat, tetapi mereka membuat pilihan itu untuk memastikan kerajaan BN melakukan perubahan besar. Sehingga kini, UMNO yang diterajui Abdullah masih gagal membuat perubahan yang dikehendaki.

Abdullah kena membersihkan UMNO daripada segala pemimpin yang korup, tidak boleh berkhidmat untuk rakyat serta mereka-mereka yang terlibat dengan pelbagai jenis skandal. Sehingga hari ini, hanya beberapa anak bilis sahaja yang dikenakan tindakan tatatertib oleh UMNO.

4) Kajian yang dibuat oleh Merdeka Centre baru-baru ini jelas menunjukkan sokongan rakyat terhadap Najib masih lagi di bawah Anwar Ibrahim. Biarpun ada sedikit peningkatan, tetapi Najib masih lagi gagal menyaingi Anwar Ibrahim sebagai calon yang disukai rakyat. Abdullah sepatutnya melantik pengganti yang boleh menyaingi kehebatan Anwar. UMNO masih mempunyai calon-calon lain yang boleh diketengahkan sebagai pengganti yang sesuai untuk Abdullah.

Memang benar UMNO mempunyai tradisi dalam menentukan ketuanya, tetapi janganlah tradisi itu menyebabkan UMNO dan BN terus dipinggirkan oleh rakyat. Dunia sudah berubah, keadaan politik juga sudah berbeza dan selera rakyat semakin sukar difahami. Untuk itu, UMNO perlu berubah dan jika perlu, tradisi dan polisi yang tidak perlu perlu dihapuskan untuk mewujudkan tradisi serta polisi baru untuk generasi baru agar UMNO dan BN terus relevan sepanjang masa.

5) Jika kita amati perkembangan politik di kebanyakan negara Islam, kebanyakan negara-negara yang mengamalkan sekularisme mula berpindah atau mengadaptasi sistem politik Islam. UMNO sehingga hari ini masih gagal membuang semangat sekularisme yang diajar oleh penjajah. Abdullah perlu melantik pengganti yang mempunyai imej pemimpin Islam supaya dia dapat membimbing UMNO ke arah sistem yang diajar oleh Allah SWT melalui RasulNya. Jika dia berjaya memperkenalkan polisi Islam dalam UMNO, tidak mustahil orang Melayu khususnya dan rakyat Malaysia amnya dapat menerima kembali ‘kejujuran’ UMNO dalam memperjuangkan nasib agama, bangsa dan juga negara.

Terdapat beberapa lagi sebab lain yang boleh menyokong usul supaya Abdullah menolak Najib sebagai penggantinya. Buat masa ini, cukuplah setakat ini. Mungkin blogger lain atau ahli debat rakyat boleh membahaskan usul ini dengan lebih terperinci demi masa depan rakyat Malaysia dan juga negara ini.

Mudah-mudahan apa yang kita bincangkan dalam usul ini akan sampai ke pengetahuan YAB Dato’ Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi sebelum pemilihan Mac 2009.

Comments